Jangan ada yang lapar, kebuluran

Simbolik penyerahan sumbangan pek makanan kepada penduduk Menara City One oleh Zulkifli (kanan) kepada Annuar di CMC, Bahagian Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini.
Simbolik penyerahan sumbangan pek makanan kepada penduduk Menara City One oleh Zulkifli (kanan) kepada Annuar di CMC, Bahagian Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 425 pek bantuan keperluan asas bernilai RM42,500 disumbangkan kepada penghuni Menara City One Jalan Munshi Abdullah yang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak 31 April lalu.

Simbolik penyerahan itu disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa di Pusat Crisis Management Comitee (CMC), Bahagian Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini.

Zulkifli berkata, sumbangan itu merupakan sumbangan bersama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia ( Yapeim) dan Tabung Haji dengan kerjasama logistik Jabatan kebajikan Masyarakat (JKM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Menurutnya, kolaborasi antara agensi di bawahnya dengan Kementerian Wilayah Persekutuan diharap dapat memerangi koronavirus (Covid-19).

"Slogan kami tak lain tak bukan jangan ada yang lapar dan kebuluran, jika ada sila laporkan kepada kami. Untuk makan dan minum kami akan cuba memberi sebaik mungkin, semampu mungkin.

"Semoga ALLAH SWT selamatkan kita dari Covid-19 dan kabus kesukaran ini akan berarak pergi digantikan dengan kemakmuran, kesihatan dan kebahagiaan seterusnya kehidupan pulih seperti sedia kala," katanya pada simbolik penyerahan itu.

PKPD Menara City One dilaksanakan sehingga 13 April melibatkan 3,200 penghuni di 502 unit kediaman dan premis perniagaan yang 90 peratus daripadanya ialah warga asing.

Sebentar tadi, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan tambahan dua kawasan diisytihar PKPD terdiri daripada bangunan Selangor Mansion dan Selangor Malayan Mansion di Jalan Masjid India berkuat kuasa hari ini.

Artikel Berkaitan:

Ini menjadikan jumlah PKPD sebanyak lima lokasi selepas Simpang Renggam Kluang, Sungai Lui Hulu Langat dan tiga lokasi di KL.