X

Kindly register in order to view this article
!

Lockdown di Jasin cuma berita palsu: Polis Melaka

A
A

MELAKA- Berita tular di media sosial dan WhatsApp mendakwa kerajaan telah melaksanakan 'lockdown' atau sekatan pergerakan keluar dan masuk di daerah Jasin dekat sini ekoran penutupan jalan di daerah itu adalah palsu, kata Ketua Polis Daerah Jasin, DSP Mispani Hamdan.

Beliau berkata sebaliknya penutupan dan sekatan jalan raya di Jalan Kesang Pajak di Selandar, Jasin itu adalah prosedur biasa kerana banyak pengguna menggunakan jalan tikus tersebut untuk melepasi sekatan jalan raya (SJR) yang dilakukan polis.

Katanya satu lagi jalan yang ditutup adalah di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin iaitu jalan di belakang Pejabat Tenaga Nasional Berhad daerah Jasin.

"Daerah Jasin adalah penyumbang tertinggi kes koronavirus (Covid-19) dalam Melaka dan daerah ini masih berstatus jingga, maka saya telah mengarahkan jalan tersebut ditutup bagi mengurangkan pergerakan... namun ia masih boleh dilalui sekiranya mempunyai urusan penting.

"Saya beranggapan mana-mana kenderaan atau pengguna jalan raya yang suka melalui jalan tikus mungkin ada melakukan kesalahan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan atau ingin mempercepatkan perjalanan tanpa melalui SJR," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, justeru orang ramai dinasihatkan tidak menyebarkan berita tidak sahih atau tidak benar seperti yang ditularkan kerana ia menyebabkan penduduk daerah Jasin panik dan gelisah.

Katanya tindakan tegas boleh diambil terhadap individu atau pihak yang menyebarkan berita palsu itu mengikut undang-undang di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Mispani berkata penduduk daerah Jasin khususnya Serkam Jaya Merlimau, Batu 18 Kampung Sebatu Sungai Rambai dan Ayer Merbau dinasihatkan mematuhi PKP yang sedang dikuatkuasakan.

"Saya telah arahkan pasukan tangkapan dan mereka akan bergerak di kawasan tersebut untuk membuat tangkapan jika perlanggaran PKP berlaku. Mohon kerjasama penduduk demi keselamatan dan kesihatan diri sendiri serta orang lain," katanya.-Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari.Langgan Sekarang!

Polisi Data Peribadi Karangkraf