Buaya lapar sesat masuk restoran cetus panik

Reptilia itu sempat berehat di atas sofa sebelum ditangkap. Foto Agensi
Reptilia itu sempat berehat di atas sofa sebelum ditangkap. Foto Agensi
A
A
A

HARARE - Pelanggan restoran mewah di sebuah hotel bertaraf empat bintang di Zimbabwe berdepan detik cemas setelah seekor buaya sesat menceroboh masuk dan cuba memanjat kaunter dapur.

Rakaman kejadian itu memaparkan reptilia sepanjang kira-kira 3.6 meter itu meluru ke ruangan staf untuk mencari makanan.

Tidak lama selepas itu, ia kembali ke bahagian hadapan premis tersebut dan 'berehat' di atas sofa.

Pakar dari Pihak Berkuasa Taman dan Hidupan Liar (ZimParks) bergegas ke restoran di A’Zambezi River Lodge berkenaan untuk menangkap 'penceroboh' itu selepas kehadirannya mencetuskan panik.

Gelagat buaya tersebut yang kelihatan 'terlalu santai' dan berhenti rehat beberapa kali ketika dibawa semula ke sungai turut mencuri perhatian pengunjung restoran berkenaan.

Jurucakap ZimParks, Luckmore Safuli mengesahkan haiwan tersebut telah dilepaskan dengan selamat ke Sungai Zambezi.

"Mujurlah ia tidak bertindak ganas. Tiada kecedaraan atau kerosakan teruk harta benda dilaporkan. Ia bukanlah satu perkara luar biasa bagi buaya untuk bergerak ke tanah kering kerana kejadian itu berlaku dalam julat semula jadi dan habitat spesies tersebut," jelasnya lagi. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!