Pakistan kembali ke Zaman Batu

Penduduk Pakistan berdepan gangguan bekalan elektrik sejak kebelakangan ini. - Foto Agensi
Penduduk Pakistan berdepan gangguan bekalan elektrik sejak kebelakangan ini. - Foto Agensi
A
A
A

ISLAMABAD - Bekalan elektrik telah menjadi satu kemewahan buat Mohammad Rizwan.

Sepanjang minggu lalu, kediaman lelaki berusia 52 tahun yang terletak di kawasan kejiranan sesak di Lahore, Pakistan itu sering berdepan gangguan elektrik.

Dapur di rumahnya menerima bekalan gas paip hanya dua jam sehari hingga memaksa keluarganya bergantung kepada silinder yang lebih mahal.

"Kami seperti kembali hidup ke Zaman Batu," keluhnya.

Sebuah keluarga di Islamabad terpaksa menikmati makan malam dengan diterangi cahaya lampu telefon bimbit. - Foto Agensi
Sebuah keluarga di Islamabad terpaksa menikmati makan malam dengan diterangi cahaya lampu telefon bimbit. - Foto Agensi

Islamabad yang berpopulasi 249.95 juta penduduk itu antara yang terkesan krisis tenaga global setelah konflik di Asia Barat berlarutan selama tujuh minggu.

Pada fasa awal Perang Amerika Syarikat (AS)-Iran, Pakistan telah memperkenalkan langkah penjimatan seperti menutup premis perniagaan lebih awal dan menggalakkan penjawat awam bekerja dari rumah.

Situasi bagaimanapun bertambah buruk.

Artikel Berkaitan:

Punca utama masalah tersebut ialah kekurangan gas asli cecair (LNG), bahan api loji janakuasa penting yang biasanya diimport dari Qatar, pengeksport kedua terbesar di dunia.

Doha menghentikan penghantaran bekalan tersebut susulan penutupan Selat Hormuz dan serangan ke atas kemudahan gergasi Ras Laffan pada bulan lalu.

Kementerian Tenaga terpaksa melaksanakan langkah catuan bekalan elektrik untuk tempoh dua hingga tiga jam.

Namun, penduduk mendakwa gangguan tersebut berlaku lebih lama di beberapa daerah sehingga menjejaskan beberapa industri terutamanya sektor pembuatan.

Kilang-kilang melaporkan terpaksa menghentikan operasi pada waktu malam manakala isi rumah memasang pam haram untuk cuba mendapatkan lebih banyak gas daripada paip.

Menara perkhidmatan telefon bimbit pula ditutup dan penjana diesel serta bateri laris dijual di pasaran.

Selain itu, banyak panel solar yang sebelum ini dianggap satu kejayaan beroperasi tanpa bateri bagi mengurangkan kos dan bergantung kepada grid apabila matahari terbenam.

“Jika kita membeli bahan api yang mahal, ia akan meningkatkan harga elektrik dan juga memberi tekanan kepada pertukaran asing,” kata Menteri Tenaga, Awais Leghari.

Cari alternatif

Jualan panel solar dilaporkan meningkat setelah kebanyakan keluarga dan pengusaha kilang mencari alternatif untuk mengurangkan kebergantungan kepada elektrik mahal daripada grid.

Menurut pemerintah, Islamabad memerlukan LNG setiap kali permintaan tenaga melebihi 16,500 megawatt (MW).

Penduduk negara Asia Selatan itu gusar jika krisis bekalan elektrik yang pernah melanda negara itu pada 2021 kembali berulang. - Foto Agensi
Penduduk negara Asia Selatan itu gusar jika krisis bekalan elektrik yang pernah melanda negara itu pada 2021 kembali berulang. - Foto Agensi

Disebabkan peningkatan suhu dan penurunan output tenaga hidro, keadaan itu berlaku hampir setiap hari sepanjang minggu lalu.

Setiap kenaikan 500MW melebihi paras tersebut bersamaan dengan satu jam gangguan bekalan elektrik.

Pada beberapa ketika minggu lalu, permintaan mencecah lebih 18,000MW.

Pengilang dan perniagaan kecil menggambarkan gabungan kenaikan harga bahan api dan gangguan bekalan elektrik sebagai 'petanda kehancuran'.

Catuan bekalan elektrik itu dilaksanakan ketika suhu semakin meningkat menjelang musim monsun. - Foto Agensi
Catuan bekalan elektrik itu dilaksanakan ketika suhu semakin meningkat menjelang musim monsun. - Foto Agensi

Bagi pasukan kriket Pakistan dan peminat mereka dengan musim yang berlangsung hingga awal Mei, deretan tempat duduk kosong menandakan bencana sudah pun melanda.

“Pakistan tidak mempunyai banyak acara yang mampu menarik perhatian umum. Liga Super Pakistan selama sebulan amat penting untuk menjana ekonomi negara.

"Ia akan meningkatkan pelancongan di bandar seperti Peshawar dan Multan apabila perlawanan diadakan di sana,” menurut Javed Afridi, pemilik francais kriket Peshawar Zalmi.

Jualan produk rasmi kelab juga dilaporkan menurun sebanyak 40 peratus.

“Kita seperti kembali ke era Covid-19,” katanya lagi. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!