Tiada keperluan tangguh PRN Melaka - Ab Rauf

MELAKA - Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berpandangan tiada keperluan untuk menangguhkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijadual diadakan tahun ini.
Beliau berkata, cadangan menangguhkan PRN itu tidak mempunyai asas kukuh untuk disokong, memandangkan tempoh pentadbiran kerajaan negeri akan berakhir hujung tahun ini.
“Apa perlunya PRN ditangguhkan kerana menurut Perlembagaan, Dewan Undangan Negeri ini akan tamat pada hujung Disember ini.
“Jadi, bermula Mei sehinggalah 30 Disember ini, pilihan raya boleh diadakan pada bila-bila masa.
“Saya tidak nampak keperluan untuk menangguhkan pilihan raya ini kerana asasnya tidak mencukupi untuk menyokong cadangan tersebut,” katanya ditemui pada Majlis Perasmian Pecah Tanah bagi Pembangunan Limbungan Kapal Enrique Melaka di Klebang pada Selasa.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azhar Arshad dan Pengarah Desan Shipyard, Cenk Ismail Kaptanoglu.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan akan membawa usul bagi menangguhkan PRN Johor dan PRN Melaka ke Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO susulan krisis geopolitik di Asia Barat.
Perkara itu turut disokong Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong yang mencadangkan supaya kerajaan Melaka mengemukakan petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat susulan krisis bekalan tenaga.
Mengulas lanjut, Ab Rauf yang juga Pengerusi UMNO Melaka menegaskan kerajaan negeri sentiasa bersedia menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa selaras dengan peruntukan Perlembagaan.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, projek limbungan kapal bernilai RM180 juta itu dijangka menjana hasil sehingga RM1.8 bilion dalam tempoh 10 tahun.
Projek berkenaan dijangka siap dalam tempoh dua tahun melibatkan kerjasama strategik antara SM-WEZ Corporation, Henry The Black Shipyard Sdn Bhd dan Desan Shipyard dari Turkiye yang membawa masuk pengalaman lebih 47 tahun dalam industri maritim global.
Pembangunan tersebut akan dilaksanakan di kawasan seluas 17.12 hektar dan dijangka menjadi limbungan kapal terbesar di Melaka, sekali gus memperkukuh kedudukan negeri ini sebagai Future Maritime City.
Ia juga bakal menjana lebih 1,500 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi yang pastinya akan membuka peluang besar kepada anak tempatan untuk terlibat dalam industri berteknologi tinggi tanpa perlu berhijrah ke luar negeri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


