Jangan buat tuduhan melulu kluster RHB

Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah - Foto Bernama
Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah - Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Rakyat Sarawak digesa tidak membuat tuduhan melulu berhubung jangkitan koronavirus (Covid-19) melibatkan satu kluster yang dikenal pasti sebagai Kluster RHB di negeri itu.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ada dakwaan yang tular di media sosial menyatakan kluster itu bermula daripada seorang individu yang enggan menjalani kuarantin sehingga menyebabkan satu keluarga meninggal dunia disebabkan jangkitan itu.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, ingin saya nyatakan di sini, wabak ini tidak memilih bangsa dan tidak memilih agama, apa yang telah berlaku adalah satu perkara yang tidak diingini dan semua orang tidak mahu dijangkiti wabak ini.

“Tidaklah perlu untuk kita menguar-uarkan bahawa kematian atau wabak itu berlaku ekoran daripada seseorang atau daripada bangsa mana dan menyebabkan perasaan yang kurang enak,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di Wisma Bapa Malaysia di sini hari ini.

Abdul Karim berkata, sesiapapun tidak akan pergi bekerja mahupun bertemu orang lain sekiranya mengetahui lebih awal mereka telah dijangkiti wabak itu.

“Jadi harapan saya kepada rakyat Sarawak untuk tidak membuat tuduhan melulu kerana tiada siapa pun mahu dijangkiti dengan pandemik ini,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: