'Lebih baik Wong Chen guna FOI, bukan sidang media' - Bryan Ng

Bryan Ng dan Wong Chen (kanan)
Bryan Ng dan Wong Chen (kanan)
A
A
A

SHAH ALAM – Seorang pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) menegur Ahli Parlimen Subang, Wong Chen agar menggunakan saluran perundangan melalui permohonan Kebebasan Maklumat (Freedom of Information (FOI) bagi mendapatkan butiran berhubung penjualan tanah berhampiran Hutan Simpan Ayer Hitam di Kinrara, Selangor.

Timbalan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Bryan Ng Yih Miin berkata, pendekatan seperti menghantar surat tidak rasmi dan mengadakan sidang media tidak mewujudkan sebarang kewajipan undang-undang kepada mana-mana pihak untuk memberikan maklum balas.

Jelasnya, Selangor mempunyai Enakmen FOI berkuat kuasa sejak 2013, yang memberikan hak kepada mana-mana individu untuk memohon maklumat daripada kerajaan negeri dan permohonan itu perlu dijawab dalam tempoh 30 hari.

“Di bawah enakmen tersebut, pemohon tidak perlu menyatakan sebab permintaan. "Prosesnya jelas dan kewajipan ke atas jabatan yang menerima permohonan juga ditetapkan dengan terang.

“Lebih penting, setiap langkah, setiap jawapan, setiap penolakan dan alasan yang diberikan direkodkan serta mempunyai kekuatan undang-undang. Surat tidak rasmi dan sidang media tidak mempunyai kesan sedemikian,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Bryan Ng turut mempersoalkan mengapa Wong Chen tidak menggunakan saluran FOI walaupun lantang menyuarakan isu berkenaan di media.

"Sekiranya matlamat utama adalah untuk mendapatkan maklumat serta memastikan institusi bertanggungjawab, maka mekanisme FOI adalah saluran yang paling tepat," ujarnya.

Bryan Ng berkata demikian bag mengulas isu berkenaan melibatkan penjualan kira-kira 68.4 hektar tanah yang dikenal pasti untuk pembangunan berhampiran Hutan Simpan Ayer Hitam di Kinrara.

Pada Disember lalu, Exco Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin memaklumkan bahawa kawasan tersebut telah dinyahwartakan sebagai hutan simpan sejak tahun 1926.

Artikel Berkaitan:

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Utama itu turut menjelaskan bahawa Majlis Bandaraya Subang Jaya tidak menerima sebarang permohonan pembangunan bagi kawasan itu.

Bagaimanapun, Wong Chen sebelum ini mengkritik kerajaan negeri kerana didakwa gagal memberi maklum balas terhadap tiga surat rasmi yang dihantar berhubung urus niaga tersebut, termasuk permintaan mengenai tujuan dan harga jualan tanah.

Beliau juga memaklumkan lebih 7,000 penduduk Kinrara telah menandatangani petisyen menggesa campur tangan pejabatnya bagi mendapatkan fakta, angka dan ketelusan penuh berhubung transaksi itu.

Dalam masa sama, Wong Chen menolak cadangan Exco Selangor, Ng Sze Han supaya laporan dibuat berhubung penjualan tanah tersebut, dengan alasan tindakan itu adalah pramatang tanpa memperoleh maklumat lengkap.

Mengulas lanjut, Bryan Ng berkata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dijangka akan memberikan penjelasan mengenai isu berkenaan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!