Lapan Ahli Parlimen PKR gesa kerajaan sahkan pembatalan perjanjian ART secara rasmi

SHAH ALAM - Lapan Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggesa kerajaan menjelaskan secara terperinci dan mengesahkan secara rasmi pembatalan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat melalui saluran diplomatik antara kedua-dua negara.
Dalam satu kenyataan bersama pada Isnin mereka berkata, walaupun mengalu-alukan kenyataan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang memaklumkan bahawa ART ditandatangani antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) kini terbatal, beberapa persoalan penting masih belum dijelaskan secara rasmi.
Kenyataan itu ditandatangani oleh Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli, Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa), Lee Chean Chung (Petaling Jaya), Datuk Mohd Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau), S. Kesavan (Sungai Siput), Rodziah Ismail (Ampang), Zahir Hassan (Wangsa Maju) serta Wong Chen (Subang).
Menurut mereka, kerajaan perlu memaklumkan sama ada Malaysia telah menghantar notis rasmi kepada kerajaan AS mengenai pembatalan perjanjian itu serta sama ada pihak Washington telah mengesahkan pembatalan berkenaan.
“Kenyataan Menteri MITI setakat ini belum menjawab sama ada kerajaan Malaysia telah menulis secara rasmi kepada kerajaan AS menyatakan bahawa perjanjian ART telah terbatal secara muktamad,” menurut kenyataan itu pada Isnin.
Mereka turut mempersoalkan sekiranya komunikasi rasmi sudah dibuat, apakah maklum balas yang diterima daripada kerajaan AS serta sama ada negara itu turut mengesahkan bahawa perjanjian berkenaan telah dibatalkan?
Selain itu, jika kerajaan Malaysia masih belum menghantar sebarang surat rasmi atau komunikasi diplomatik berkaitan perkara tersebut, mereka mahu penjelasan mengenai asas yang digunakan kerajaan untuk membuat kesimpulan bahawa ART sudah tidak lagi terpakai.
Ahli Parlimen berkenaan turut mencadangkan supaya kerajaan segera menulis dan mengesahkan pembatalan ART secara rasmi serta mendapatkan persetujuan kerajaan AS bagi mengelakkan sebarang kekeliruan atau tafsiran berbeza pada masa depan.
Mereka berkata, perkara itu penting bagi memastikan Malaysia tidak terdedah kepada pelbagai tafsiran perjanjian oleh pihak AS, khususnya sekiranya berlaku perubahan pentadbiran di negara berkenaan pada masa hadapan.
“Kami menyeru supaya Menteri MITI membuat kenyataan rasmi yang menjelaskan perkara ini secepat mungkin dan mengesahkan bahawa pembatalan ART telah dimuktamadkan melalui saluran diplomatik antara kedua-dua negara,” kata mereka.
Dalam masa sama, mereka berkata, kelemahan yang berlaku ketika proses rundingan ART sebelum ini juga tidak boleh diketepikan.
Menurut mereka, pandangan yang menasihatkan kerajaan supaya tidak tergesa-gesa menandatangani perjanjian berkenaan sehingga keputusan kes berkaitan di mahkamah tertinggi AS diputuskan didakwa tidak diendahkan.
Akibatnya mereka mendakwa, perjanjian yang ditandatangani itu dilihat berat sebelah, merugikan serta berpotensi menjejaskan kedaulatan negara.
Sehubungan itu, mereka menggesa supaya satu siasatan dijalankan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Perdagangan dan Hubungan Antarabangsa (PSSC) yang dipengerusikan oleh Wong Chen.
Menurut mereka, siasatan itu antara lain boleh melibatkan pemanggilan individu utama yang terbabit dalam penandatanganan ART, termasuk bekas Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bagi memberi keterangan di hadapan jawatankuasa berkenaan.
Selain itu, mereka mencadangkan supaya langkah perlindungan lebih kukuh diperkenalkan pada masa depan termasuk memastikan setiap perjanjian perdagangan disertakan dengan analisis kos faedah yang komprehensif serta boleh diakses oleh rakyat.
Mereka juga mencadangkan supaya semua perjanjian perdagangan pada masa hadapan memerlukan kelulusan undi Parlimen sebelum dimeterai.
Pada masa sama, mereka mengingatkan bahawa dasar perdagangan Malaysia selama ini berpegang kepada prinsip berkecuali secara aktif serta mengamalkan perdagangan bebas dan adil dengan semua negara perlu terus dihormati.
Menurut mereka, Malaysia juga perlu mengelakkan daripada memihak kepada mana-mana blok geopolitik dalam persaingan perdagangan dan ekonomi yang semakin sengit antara AS dan China.
Ringkasan AI
- Lapan Ahli Parlimen PKR meminta kerajaan menjelaskan pembatalan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas antara Malaysia dan Amerika Syarikat
- Mereka menuntut penjelasan tentang pengesahan rasmi pembatalan perjanjian oleh kedua-dua negara
- Persoalan diajukan tentang apakah notis rasmi telah dikirim kepada AS dan maklum balas dari pihak AS
- Menyeru kerajaan untuk mengesahkan secara rasmi pembatalan perjanjian melalui saluran diplomatik
- Menggesa siasatan parlimen terhadap proses rundingan ART dan menyarankan perjanjian perdagangan masa depan mendapat kelulusan Parlimen
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

