Jangan takut buat ujian saringan Covid-19!

Abdul Hamid ketika bercakap pada sidang media di Bukit Aman di sini hari ini. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Abdul Hamid ketika bercakap pada sidang media di Bukit Aman di sini hari ini. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Individu yang terlibat dalam pengambilan dadah tetapi mempunyai simptom jangkitan wabak koronavirus (Covid-19) tidak perlu takut untuk membuat pemeriksaan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang sebelum ini terlibat dalam perkara itu jika membuat saringan Covid-19.

"Negara pada masa ini berhadapan dengan masalah lebih membimbangkan iaitu wabak Covid-19. Kita berusaha untuk menghentikan penyebaran dan penularannya dalam negara ini.

"Justeru pada masa ini, kita mengalu-alukan individu yang mempunyai simptom Covid-19 namun pernah terbabit dengan pengambilan dadah untuk tampil (buat pemeriksaan) bagi mengekang penyebaran wabak ini," katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Abdul Hamid berkata, pihaknya bimbang wabak berkenaan boleh menjangkiti ahli keluarga individu berkenaan serta orang yang rapat dengan mereka sekiranya mereka berdiam diri tanpa membuat pemeriksaan.

"Sila tampil untuk pemeriksaan di mana-mana klinik kesihatan kerajaan, jangan bimbang, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) tidak akan menjalankan ujian air kencing terhadap anda.

"Apa yang penting pada masa ini keselamatan dan nyawa mereka," katanya.

Dalam pada itu, Abdul Hamid memaklumkan JSJN akan terus melaksanakan operasi memburu mana-mana pengedar dadah walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang dilaksanakan.

Artikel Berkaitan: