Keluarga kaya 'kebumikan' kereta mewah dengan jasad bapa

BEIJING - Tindakan sebuah keluarga di China 'mengebumikan' sebuah kereta Mercedes-Benz bersama jasad bapa mereka yang sudah meninggal dunia meraih perhatian ramai.
Menurut laporan media tempatan, si mati yang merupakan pengumpul kereta mewah disemadikan bersama model kereta kegemarannya, S450L yang berharga kira-kira 1.1 juta yuan (RM640,000) dan disertakan nombor plat khas 8888.
Klip upacara pengebumian luar biasa di sebuah perkampungan di wilayah Liaoyang pada 9 April lalu itu turut memaparkan beberapa penduduk setempat memegang penyodok.
Mereka diberikan 'angpau' mengandungi 500 yuan (RM290) serta dijamu dengan hidangan mewah.
Sehari selepas itu, biro hal ehwal tempatan menerusi catatan mereka di media sosial memaklumkan keluarga Yin tersebut telah didenda kerana 'mengebumikan' kereta sebenar.
Mereka tidak memberikan penjelasan tentang upacara pelik itu, namun mengemukakan permohonan maaf secara terbuka.
Difahamkan, mereka juga perlu menanggung kos untuk penggalian semula, pembersihan tapak dan pemulihan ekologi. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

