Hasrat mahu beraya, rupanya jiran sudah empat hari meninggal dunia dalam rumah

MELAKA - Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia di kediamannya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Krubong di sini, petang semalam, selepas tidak menyahut salam jiran yang datang untuk beraya.
Mangsa berusia 42 tahun ditemui selepas pasukan bomba dipanggil untuk membuka pintu rumahnya yang berkunci dari dalam.
Jiran mangsa, Suffian Abdul Majid, 52, berkata, kejadian itu disedari apabila seorang penduduk yang datang untuk beraya berasa curiga apabila mangsa tidak menyahut panggilan walaupun kasutnya berada di luar rumah.
“Jiran tersebut kemudian memaklumkan kepada saya mengenai bau kurang menyenangkan dari dalam rumah dan meminta saya memeriksa kerana mangsa tinggal setingkat dengan saya.
“Saya mendapati motosikalnya berada di bawah PPR dan kasutnya di luar rumah, namun dia tetap tidak menyahut salam.

“Bau itu sangat kuat dan terdapat lalat keluar dari celahan bawah pintu,” katanya.
Menurutnya, berikutan keadaan mencurigakan itu, beliau segera menghubungi talian kecemasan 999 untuk mendapatkan bantuan.
Beliau berkata, mangsa dipercayai mempunyai penyakit tiga serangkai iaitu kencing manis, darah tinggi dan jantung, selain tinggal bersendirian selepas berpisah dengan isterinya.
“Kami dimaklumkan pihak berkuasa bahawa mangsa berkemungkinan telah meninggal dunia kira-kira empat hari berdasarkan keadaan mayat yang sudah kembung,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd. Hafidzatullah Rashid berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.10 petang sebelum enam anggota dikejarkan ke lokasi.
“Pasukan berjaya membuka pintu yang berkunci dan menemukan seorang lelaki telah meninggal dunia sebelum mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Ringkasan AI
- Seorang lelaki berusia 42 tahun ditemukan meninggal di kediamannya di PPR Krubong, Melaka
- Mangsa tidak menyahut salam jiran yang datang untuk beraya, membuat mereka curiga
- Bau tidak menyenangkan dan lalat keluar dari celahan pintu menyebabkan jiran memanggil bomba
- Mangsa mempunyai penyakit tiga serangkai dan tinggal bersendirian selepas berpisah dengan isteri
- Anggota bomba berjaya membuka pintu dan menemukan mayat tersebut, kemungkinan telah meninggal empat hari sebelum ditemui
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
