Pelancar Iran ‘kunci sasaran’, ancam tenggelamkan semua kapal perang AS

Mohsen Rezaei Foto Agensi
Mohsen Rezaei Foto Agensi
A
A
A

TEHERAN – Penasihat kepada Pemimpin Tertinggi Iran, Mohsen Rezaei memberi amaran tegas bahawa pasukan bersenjata negara itu bersedia melancarkan serangan bagi menenggelamkan kapal perang Amerika Syarikat (AS) di rantau Teluk.

Dalam wawancara televisyen pada Rabu, beliau yang juga anggota Majlis Penentuan Kemaslahatan Iran serta bekas komander Kor Pengawal Revolusi Islam mendakwa semua pelancar peluru berpandu Iran kini telah 'mengunci sasaran' ke arah aset ketenteraan AS.

“Tekanan perlu ditingkatkan. Pelancar kami kini telah dikunci pada kapal perang musuh, dan kami akan menenggelamkan semuanya,” katanya.

Rezaei turut menegaskan bahawa sebarang usaha Washington untuk melaksanakan sekatan laut terhadap Iran dijangka gagal, khususnya di laluan strategik Selat Hormuz yang menjadi nadi perdagangan tenaga dunia.

Menurut beliau, Iran memiliki kelebihan strategik yang masih belum dimanfaatkan sepenuhnya dan tidak akan membenarkan AS mencapai sebarang kejayaan dalam sekatan tersebut.

Dalam masa sama, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi memberi amaran mengenai 'akibat berbahaya' susulan tindakan provokatif AS di Teluk Parsi dan Selat Hormuz.

Terdahulu, Iran mengenakan sekatan terhadap pergerakan kapal di laluan berkenaan susulan konflik dengan AS dan Israel, manakala Washington pula mengumumkan rancangan untuk menyekat pelabuhan Iran.

Mengulas mengenai gencatan senjata sementara, Rezaei berpandangan lanjutan tempoh tersebut tidak memberi manfaat kepada Iran selagi hak dan syarat negara itu tidak dipenuhi serta dipersetujui di peringkat antarabangsa. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!