Pentagon dakwa pemimpin tertinggi Iran masih hidup namun cedera, mungkin cacat

WASHINGTON – Pemimpin tertinggi Iran, Mojtaba Khamenei, dilaporkan masih hidup namun mengalami kecederaan serius serta kemungkinan kecacatan fizikal, menurut kenyataan terbaharu Pentagon.
Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Pete Hegseth berkata, status kesihatan Khamenei “tidak banyak berubah”, sambil menyifatkan beliau dipercayai “hidup, tetapi cedera dan cacat”.
“Tidak banyak maklumat terkini daripadanya ketika ini, sesuatu yang boleh difahami.
“Terdapat kebimbangan tinggi. Beliau dipercayai masih hidup, namun cedera dan cacat. Statusnya kekal sama,” katanya ketika menjawab pertanyaan media.
Menurut laporan, Khamenei dipercayai cedera dalam siri serangan awal Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran pada 28 Februari lalu yang mencetuskan konflik ketenteraan antara kedua-dua pihak.
Serangan tersebut turut dilaporkan mengorbankan bapanya, bekas pemimpin tertinggi Iran, Ali Khamenei, selain didakwa meragut nyawa beberapa ahli keluarga termasuk isteri Khamenei.
Sejak insiden itu, Mojtaba Khamenei tidak lagi dilihat muncul di khalayak umum, dengan pelbagai laporan bercanggah mengenai keadaan sebenar beliau.
Bagaimanapun, setakat ini tiada pengesahan rasmi daripada pihak Iran berhubung tahap kecederaan yang didakwa, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kesahihan maklumat tersebut.
Konflik antara Iran dan Amerika Syarikat sebelum ini menyaksikan kedua-dua pihak bersetuju kepada gencatan senjata bersyarat selama dua minggu, namun ketegangan kekal tinggi di rantau tersebut. – Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

