X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 23 Mei 2022

KKM keluarkan SOP baharu berkaitan 'lockdown': Ismail Sabri

Ismail Sabri
A
A

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) yang baharu bagi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan yang telah dikenal pasti.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu diambil bagi memastikan perintah berkurung (lockdown) itu lebih berfokus kepada kawasan yang mempunyai kes positif.

“KKM sebenarnya sedang meneliti beberapa kawasan yang akan dikenakan PKPD, tapi mereka masih membuat penilaian secara lebih lanjut sebab yang pentingnya kali ini kita lebih berfokus.

“Kita tidak mahu mengambil kawasan radius yang lebih luas itu keputusan yang dicapai. Misalnya mungkin satu kampung sahaja yang terdapat positif punya kes, tetapi kawasan yang ditutup terlalu luas sampai enam kilometer radius dan sebagainya.

“Jadi, sebab itulah KKM akan buat SOP yang baharu mengenai kawasan yang akan dikenakan 'lockdown' sepenuhnya,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri-menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Pejabat Perdana Menteri di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya bagaimana kerajaan menetapkan kriteria kawasan yang dikenakan PKPD memandangkan Lembah Pantai sudah mencapai lebih 300 kes positif tetapi belum dikenakan perintah tersebut.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, dengan adanya SOP baharu daripada KKM itu akan dijadikan garis panduan untuk tindakan selanjutnya bagi kawasan Lembah Pantai.

“Kita akan lihat (tindakan yang akan diambil) di Lembah Pantai mungkin tempatnya dari segi kepadatannya (penduduk) tinggi. Jadi kita akan lihat bagaimana, tempat mana dan sebagainya yang perlu diadakan lockdown.

“Mesti kita tahu kalau ada lockdown bermakna kawasan itu ditutup sepenuhnya, tidak boleh keluar rumah, tidak boleh beli barang dan sebagainya,” katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!