Perak lancar AgroPrihatin bantu beli hasil tani

Ahmad Faizal (dua dari kanan) menerima sayur dari Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kawasan Selama, Mohd Aini Ahmad yang merupakan rakan strategik AgroPrihatin.
Ahmad Faizal (dua dari kanan) menerima sayur dari Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kawasan Selama, Mohd Aini Ahmad yang merupakan rakan strategik AgroPrihatin.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak melancarkan Skim Agro Prihatin Negeri (AgroPrihatin) bagi membantu petani-petani yang terkesan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, dana sebanyak RM1 juta diperuntukkan bagi membeli hasil pertanian secara tunai bagi membantu kecairan modal segera bagi para petani.

Menurutnya, skim itu berasaskan kepada kerjasama rakan strategik antara kerajaan negeri bersama KLK Berhad, Agroto Business, Pertubuhan Peladang Kawasan Selama dan Central Kitchen.

“Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) memperuntukkan dana itu bagi membeli hasil-hasil pertanian terutamanya sayur-sayuran dan buah-buahan yang tidak terjual daripada para petani yang berdaftar dengan Jabatan Pertanian Negeri, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perak dan PPPNP.

“Hasil pertanian ini akan dijual terus kepada rakan strategik iaitu KLK Berhad dan syarikat-syarikat perladangan sawit di negeri Perak untuk diagihkan kepada sekitar 10,000 kakitangan manakala syarikat korporat seperti Agroto Business berminat untuk memasarkan hasil pertanian ke pasar raya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ahmad Faizal yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah PPPNP berkata, hasil pertanian itu juga akan disalurkan kepada operator Central Kitchen seluruh negeri bagi penyediaan makanan kepada para petugas barisan hadapan.

“Berdasarkan data Jabatan Pertanian dan agensi-agensi pertanian negeri, pengeluaran hasil pertanian oleh para petani di negeri Perak sehingga 14 April 2020 dianggarkan melebihi 13,000 tan metrik.

“Dianggarkan antara 20 hingga 30 peratus hasil pertanian ini tidak dapat dijual berikutan kurang permintaan dari pemborong, industri perhotelan dan rangkaian restoran susulan pelaksanaan PKP,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, petani yang terjejas boleh berdaftar di Jabatan Pertanian Perak, FAMA dan PPPNP bagi memudahkan urusan penyaluran bantuan.

“PPPNP boleh berhubung dengan Norafiza Abu Seman di talian 013-5000894; Raudah Talib di talian 017-3981454 (Jabatan Pertanian Perak) dan Mohamad Fikri Mohamad Hashim di talian 017-3624087 (FAMA Perak).

“Maklumat lanjut boleh diperoleh dengan melayari laman sesawang dan laman Facebook agensi terbabit,” katanya.