Rombak semula takwim, peperiksaan sekolah 2020-2021

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) meminta Kementerian Pendidikan untuk merombak semula takwim persekolahan 2020-2021 dengan pengubahsuaian waktu cuti pada akhir tahun dan juga jadual peperiksaan.

Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, saranan itu berasaskan keprihatinan masyarakat yang khuatir sekiranya sesi persekolahan dibuka serta-merta selepas tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"ABIM ingin berkongsi tiga senario yang akan berlaku selepas tamat tempoh PKP secara umum. Pertama, usaha untuk memutuskan rantaian wabak Covid-19 masih belum dapat dipastikan berjaya 100 peratus sebaik tempoh PKP tamat.

"Kedua senario kesesakan jalan raya, pasar raya, pergerakan rentas daerah dan negeri serta penggunaan pengangkutan awam secara mendadak akan berlaku sebaik tempoh PKP tamat.

"Ketiga sejauh mana penjarakkan sosial dapat dilakukan sebaiknya dalam kalangan anak murid dan guru-guru di sekolah apabila sesi persekolahan bermula," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, ABIM turut mencadangkan pihak kementerian untuk mengukuhkan program intervensi lebih bersistematik melalui platform 'Google Classroom' dan membuka pusat internet alternatif (terkawal) seperti di sekolah untuk murid yang tiada kemudahan internet di rumah.

"Selain itu, ABIM juga menyarankan pihak kerajaan untuk memikirkan situasi kewangan golongan berkaitan yang turut terjejas hingga sesi persekolahan dibuka secara mutlak.

"Ini termasuklah golongan pengusaha bas sekolah, pengusaha sekolah dan prasekolah swasta serta taska," ujar beliau.

Artikel Berkaitan: