Pelan Induk Kebenaran Merancang PILA diluluskan - Kon Yeow

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGE TOWN - Pelan Induk Kebenaran Merancang bagi projek Penang International Logistics Aeropark (PILA) yang bakal memperkukuh ekosistem logistik Wilayah Utara telah diluluskan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, projek usaha sama strategik antara Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) itu melibatkan pembangunan terminal kargo baharu bagi menyokong pertumbuhan sektor perindustrian negeri.

Menurutnya, ketika ini PDC sedang melaksanakan kerja-kerja tanah serta rawatan tanah bagi memastikan kelancaran pembangunan projek berkenaan.

“Bagi fasa pertama, bangunan gudang kargo udara baharu bertaraf Zon Komersial Bebas dijangka siap dan mula beroperasi pada tahun 2029,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau menambah, secara keseluruhan projek PILA dijangka mampu menampung kapasiti kargo sehingga 500,000 tan setahun menjelang 2050 dengan penyediaan ruang gudang melebihi dua juta kaki persegi.

“Untuk fasa pertama sahaja, pembangunan ini dijangka menyokong kapasiti tambahan sehingga 100,000 tan setahun,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerjasama antara PDC dan MAHB amat signifikan dalam memenuhi keperluan logistik industri semikonduktor serta Elektrik dan Elektronik (E&E) pada masa hadapan.

"Pembangunan tersebut juga selari dengan aspirasi Visi Penang2030, Rancangan Struktur Negeri 2030 serta pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).

"Majlis pelancaran projek PILA kini sedang dirancang dan dijangka akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selain telah menerima komitmen penyewaan daripada syarikat logistik antarabangsa serta pemain tempatan," ujarnya lagi.

Artikel Berkaitan:

Projek PILA mula dilaksanakan pada suku pertama tahun ini bertujuan melonjakkan Pulau Pinang sebagai hab logistik dan penerbangan utama.

Ia terletak di LTAPP dan dipromosikan sebagai sebahagian daripada pelaburan strategik bernilai RM5 bilion.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!