X

Kindly register in order to view this article
!

PM umum Pakej Prihatin tambahan untuk PKS 4 petang ini

A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) tambahan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) pada jam 4 petang hari ini.

Langkah itu diambil bagi membantu sektor itu yang turut terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

Pada 27 Mac lalu, Muhyiddin mengumumkan bahawa kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) akan menyediakan dana tambahan berjumlah RM4.5 bilion dengan lima inisiatif.

ARTIKEL BERKAITAN: PM umum Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat RM250 bilion

Inisiatif pertama membabitkan tambahan dana dalam tabung Bantuan Kemudahan Khas untuk PKS sebanyak RM3 bilion, menjadikan jumlah keseluruhannya RM5 bilion.

Selain itu, kadar faedah bagi keseluruhan dana itu akan dikurangkan daripada 3.75 peratus kepada 3.5 peratus.

Inisiatif kedua ialah peningkatan saiz dana sebanyak RM1 bilion kepada RM6.8 bilion di bawah Kemudahan Semua Sektor Ekonomi bagi meningkatkan lagi akses pembiayaan kepada PKS.

Inisiatif ketiga adalah penyediaan dana tambahan sebanyak RM500 juta di bawah Skim Kredit Mikro yang menjadikan jumlah keseluruhan RM700 juta bagi pembiayaan mudah.

Skim itu akan dikendalikan oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) dengan menawarkan kadar faedah dua peratus sahaja tanpa cagaran.

Syarat kelayakan pinjaman juga dilonggarkan dengan minimum enam bulan operasi berbanding setahun operasi.

Amaun pembiayaan juga ditingkatkan daripada maksimum RM50,000 kepada RM75,000 bagi setiap usahawan.

Inisiatif tersebut adalah terbuka kepada semua usahawan mikro dalam semua sektor perniagaan termasuk pengusaha taska, operator bas dan teksi, industri kreatif dan peniaga atas talian.

Inisiatif keempat pula menyaksikan PKS yang mempunyai rekod perniagaan kurang daripada empat tahun boleh memanfaatkan skim BizMula-i dan BizWanita-i Syarikat Jaminan Kredit Malaysia Berhad (CGC) untuk pembiayaan sehingga RM300,000.

Inisiatif kelima, Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) akan menyediakan kemudahan jaminan bernilai RM5 bilion selain meningkatkan kadar jaminan daripada 70 peratus kepada 80 peratus bagi PKS yang menghadapi masalah mendapatkan pinjaman.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus