Tapak kaki dinosaur 120 juta tahun ditemukan di Thailand

BANGKOK - Ahli paleontologi Thailand mengesahkan penemuan enam kesan tapak kaki dinosaur pemakan daging berusia kira-kira 120 juta tahun di wilayah Udon Thani.
Menurut Bangkok Post, penemuan di kawasan Phu Phra Bat, daerah Ban Phue itu merupakan yang pertama seumpamanya di wilayah berkenaan.
Kesan tapak kaki tersebut dipercayai ditinggalkan dinosaur kumpulan teropod yang hidup pada Zaman Kapur Awal.
Setiap tapak kaki mempunyai tiga jari runcing dengan ukuran 29 sentimeter panjang dan 26 sentimeter lebar.
Penyelidik menganggarkan dinosaur berkenaan mempunyai panjang badan sekitar 6.3 meter dengan ketinggian pinggul 1.42 meter.
Pihak berkuasa Thailand merancang mewujudkan zon perlindungan bagi mengelakkan kerosakan fosil akibat aktiviti pengunjung dan hakisan air.
Kawasan itu juga bakal dibangunkan sebagai pusat penyelidikan geologi dan tarikan pelancongan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
