Tak perlu terbalikkan baju lagi, ‘jaket solat’ mudahkan urusan jemaah

KUANTAN – Jemaah dan musafir yang memakai pakaian bertulisan dan bercorak kini tidak lagi menterbalikkan baju ketika menunaikan solat di Masjid Al-Muhajirin Indera Mahkota Lima di sini susulan pengenalan inisiatif ‘jaket solat’.
Pengerusinya, Datuk Idros Yahya berkata, pemakaian sedemikian antara faktor yang boleh mengganggu tumpuan ketika solat berjemaah, namun teguran secara langsung bukan kaedah terbaik.
Menurutnya, justeru inisiatif itu diperkenalkan bagi menjaga kesopanan berpakaian dan keselesaan jemaah, khususnya musafir serta orang ramai yang singgah menunaikan solat.
“Kita dapati kebanyakan yang singgah memakai pakaian rasmi pejabat atau baju rekreasi yang mempunyai tulisan serta corak menarik perhatian sehingga boleh mengganggu kekhusyukan solat.
“Bagaimanapun, kita meraikan kehadiran mereka, namun pada masa sama memastikan pakaian tidak mengganggu atau menimbulkan ketidakselesaan kepada jemaah lain.

“Jadi, sebab itulah kita perkenalkan jaket solat ini sebagai alternatif,” katanya ketika ditemui di masjid tersebut di Indera Mahkota di sini pada Khamis.
Idros memberitahu, sebanyak 20 helai jaket disediakan di tiga pintu masuk utama untuk kegunaan jemaah secara sukarela melalui notis bertulis sebagai panduan.
Jelasnya, pendekatan itu tidak diwajibkan, sebaliknya hanya sebagai galakan dengan penerangan awal bagi memastikan jemaah memahami tujuan pelaksanaannya.
Tambah beliau, idea itu diinspirasikan daripada konsep penyediaan jubah di masjid untuk pelancong asing, yang kemudiannya disesuaikan dengan keperluan jemaah tempatan.
“Kalau pelancong kita sediakan jubah supaya mereka hormat masjid, kenapa tidak kita sediakan sesuatu untuk jemaah sendiri? Dari situlah lahirnya inisiatif ini,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Idros berkata, jaket solat itu mempunyai pelbagai fungsi lain termasuk membantu jemaah lelaki menjaga aurat terutama ketika sujud serta mengelakkan pakaian terangkat akibat aliran angin dalam masjid.
“Ada jemaah memakai baju singkat, jadi ketika sujud kadangkala aurat terdedah. Jaket ini membantu menutup bahagian tersebut.
“Ini menunjukkan ia bukan sekadar idea kecil, tetapi memberi nilai tambah kepada keselesaan jemaah,” katanya.
Beliau berharap pendekatan itu dapat diperluaskan ke lebih banyak masjid agar menjadi amalan dalam kalangan masyarakat.
“Bila lebih banyak masjid melaksanakannya, jemaah akan lebih mudah menerima dan menjadikannya satu budaya,” ujarnya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

