PKP: Tiada tambah nilai di plaza tol Jambatan Pulau Pinang

Tiada perkhidmatan tambah nilai kad Touch 'n Go di Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang sepanjang PKP.
Tiada perkhidmatan tambah nilai kad Touch 'n Go di Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang sepanjang PKP.
A
A
A

GEORGETOWN - PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menasihatkan pelanggan lebuh raya supaya memastikan baki kad Touch ‘n Go mencukupi sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Pegawai Operasi PLUS, Zakaria Ahmad Zabidi berkata, ini kerana tiada lagi sebarang transaksi tambah nilai menerusi pembantu khidmat pelanggan bagi mengelakkan jangkitan wabak koronavirus (Covid-19).

Menurutnya, pengguna lebuh raya boleh menambah nilai di beberapa lokasi lain antaranya mesin pengeluaran wang automatik (ATM), kedai serbaneka atau stesen minyak.

"Kami memohon pelanggan lebuh raya supaya sentiasa memastikan baki kad Touch ‘n Go mereka mencukupi. Bagi memudahkan mereka menambah nilai, pelanggan boleh berbuat demikian di pusat-pusat menambah nilai yang lain seperti mesin ATM, kedai serbaneka serta stesen minyak yang terdapat di sekitar Pulau Pinang dan Seberang Perai.

"Kiosk Layan Diri turut disediakan di lokasi-lokasi terpilih sepanjang lebuh raya PLUS," katanya dalam satu kenyataan media tadi.

Zakaria berkata, langkah memberhentikan perkhidmatan menambah nilai di lorong tol sepanjang PKP adalah untuk mengurangkan risiko penularan wabak Covid-19 dalam kalangan pelanggan dan pembantu khidmat pelanggan.

"Langkah ini perlu dilakukan bagi mengurangkan risiko penularan wabak Covid-19. PLUS amat memahami kesukaran sesetengah pemandu untuk membuat tambah nilai di lokasi lain selain plaza tol.

"Paling utama, langkah terbaik membendung penularan wabak Covid-19 adalah dengan duduk di rumah dan sentiasa mengamalkan penjarakkan sosial,” katanya.

Artikel Berkaitan: