Netizen harap pesalah PKP jadi sukarelawan bantu 'frontliner'

Antara komen para netizen di media sosial.
Antara komen para netizen di media sosial.
A
A
A

SHAH ALAM - Rata-rata netizen memberi pendapat dan cadangan kepada kerajaan di media sosial berhubung isu hukuman penjara terhadap pesalah yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang akan dibincangkan oleh Jabatan Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk Jabatan Penjara.

Antara pendapat yang dimuat naik di ruangan komen di Facebook Sinar Harian ialah Nor Hakim Yahaya di mana dia berpendapat bahawa pesalah yang didapati melanggar PKP tidak perlu dipenjarakan, sebaliknya menjadi sukarelawan bagi membantu petugas barisan hadapan bagi mengekang wabak koronavirus (Covid-19).

"Kalau kena tangkap masuk penjara. Mungkin kerajaan kena keluarkan kos untuk jaga dan bagi makanan di dalam penjara. Ia akan menjadi bebanan.

"Pendapat saya, bagi mereka bantu kerajaan dengan menjadi sukarelawan petugas frontliner. Baru mereka mengerti susahnya orang bertarung nyawa nak basmi penyakit ini," katanya.

Pendapat itu juga dipersetujui pengguna Facebook lain dikenali sebagai Busut Asla.

"Saya sarankan kepada badan berkanun supaya menjatuhkan hukuman kepada pesalah PKP yang ingkar dengan membuat kerja amal selama sebulan di semua hospital yang mempunyai kekurangan pekerja seperti tukang cuci atau pun yang sesuai pada umur masing-masing," katanya.

Dalam pada itu, lain pula cadangan dari Noreli Anas apabila meminta kerajaan menempatkan pesalah di institusi kemahiran vokasional atau kolej komuniti bagi menyediakan peralatan pelindungan buat petugas perubatan.

"Moga kerajaan dapat gunakan peluang yang ada untuk didik dan mengajar mereka ini nilai kehidupan yang sebenar.

Artikel Berkaitan:

"Gunalah pusat kemahiran vokasional yang sedang kosong sekarang ini untuk menempatkan mereka bagi menyediakan peralatan 'frontliners' di samping menyemai jati diri kepada mereka," ujarnya.

Bukan itu sahaja, Nor Shakyilla Zulkifly berpendapat pesalah yang melanggar PKP perlu melakukan kerja amal dengan menjadi sukarelawan untuk membantu petugas barisan hadapan.

"Khidmat masyarakat je senang, jadi barisan hadapan, baru tau rasa, bagi tugas dekat hospital atau jaga jalan, nak sukarelawan, biar mereka jadi sukarelawan. Kerajaan tidak perlu keluar duit banyak," katanya.

Tambah Mike pula, "Oleh kerana mereka sihat, hukum menjadi pembantu hospital, bantu kerja-kerja melawan Covid-19 selama 3 bulan 14 hari tanpa bayaran. Semoga mereka menghargai tugas melawan Covid-19."

ARTIKEL BERKAITAN: Isu hukuman penjara pesalah PKP akan dibincang: Ismail Sabri

Sebelum ini, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan tersebut dibuat menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-Menteri mengenai PKP hari ini.

“Mesyuarat bersetuju hari ini supaya pihak Peguam Negara, PDRM dan Jabatan Penjara untuk membincangkan isu ini supaya dapat diselesaikan segera,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat khas itu di sini.