Covid-19: Empat kematian, 179 kes baharu direkod hari ini

Noor Hisham
Noor Hisham
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Empat lagi kes kematian berkaitan jangkitan Covid-19 dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah kumulatif kes kematian akibat jangkitan wabak berkenaan dalam negara ketika ini sebanyak 61 kes.

Beliau berkata, terdapat 179 kes baharu turut dilaporkan menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 3,662 kes.

"Daripada 179 kes ini, 46 adalah berkaitan dengan perhimpunan Seri Petaling.

"Sehingga kini, seramai 99 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 48 kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Kes kematian ke-58, iaitu kes ke-2210 merupakan lelaki warga Malaysia berumur 72 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi.

Warga emas itu mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes ke-1031 mendapatkan rawatan di Hospital Umum Sarawak pada 27 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 4 April 2020.

Kes kematian ke-59, iaitu kes ke-3484 merupakan lelaki warga Malaysia berumur 68 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis pula disahkan meninggal dunia pada 4 April 2020 jam 3.40 petang.

Artikel Berkaitan:

Sementara kes kematian ke-60, iaitu kes ke-3073 disahkan meninggal dunia hari ini selepas dirawat di Hospital Umum Sarawak 31 Mac lalu.

Kes kematian ke-61, iaitu kes ke-2200 pula merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 66 tahun dan mempunyai latar belakang kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah pinggang.

Beliau telah dirawat di Hospital Keningau, Sabah pada 26 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 4 April 2020 jam 9.36 malam.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, terdapat 90 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini.

"Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid -19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 1,005 kes iaitu 27.44 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.