Program e-learning percuma buat pelajar Selangor

Kerajaan Selangor menawarkan program pembelajaran secara e-learning secara percuma kepada semua pelajar di negeri ini.
Kerajaan Selangor menawarkan program pembelajaran secara e-learning secara percuma kepada semua pelajar di negeri ini.
A
A
A

SHAH ALAM – Bagi memastikan momentum pengajaran dan pembelajaran (PdP) pelajar terus kekal sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Kerajaan Selangor menawarkan program pembelajaran secara e-learning secara percuma kepada semua pelajar di negeri ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, inisiatif di bawah Pakej Rangsangan Selangor Prihatin Fasa Kedua itu boleh diakses menerusi laman sesawang selangortutor.com

Menurutnya, pakej e-learning itu ditawarkan khusus untuk kira-kira 250,000 pelajar dari Tahun 1 hingga Tingkatan 5 di Selangor.

“Program ini bermula pada 3 April sehingga 31 Mei ini. Lebih daripada 130,000 soalan latih tubi tersedia mengikut standard kurikulum Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Ibu bapa juga boleh mengakses program ini untuk memantau perkembangan pembelajaran anak-anak dari semasa ke semasa,” katanya menerusi kenyataan di Facebook miliknya.

Rabu lalu Amirudin mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin 2.0 melibatkan peruntukan sebanyak RM272.5 juta menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM400 juta khusus untuk menangani impak wabak koronavirus (Covid-19).

Menurutnya, Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin 2.0 dirangka berdasarkan dua cabaran utama iaitu bagaimana menggempur wabak tersebut daripada terus merebak serta menangani cabaran ekonomi dihadapi semasa dan juga pasca pandemik.

Antara inisiatif diumum dalam pakej fasa kedua itu adalah pelaksanaan saringan Covid-19 atau ‘mass test’ di kawasan panas atau zon merah dikenalpasti di negeri ini melibatkan sasaran seramai 5,000 orang dengan kos berjumlah RM1.35 juta.

Artikel Berkaitan:

Kerajaan Selangor turut memperuntukkan sebanyak RM1.344 juta bagi memberi bantuan makanan percuma kepada doktor, jururawat dan petugas hospital di Selangor sepanjang tempoh PKP.