Guna lilin waktu malam, dua beradik tercicir sekolah akibat kesempitan hidup

KUALA NERANG – Kesempitan hidup yang dilalui sebuah keluarga di Naka di sini menyebabkan dua beradik tercicir daripada sistem persekolahan dan tidak pernah menjejakkan kaki ke sekolah.
Muhamad Rizhan Rizqi, 9, dan adiknya, Muhamad Raiqal Rayyan, 8, sepatutnya berada di Tahun Tiga dan Dua, kini hanya menghabiskan masa di rumah tanpa pendidikan formal seperti rakan sebaya lain.
Ibu mereka, Siti Nur Jamilah Jamaludin, 39, berkata, selepas ibunya meninggal dunia kehidupan mereka sekeluarga menjadi semakin sukar.
Menurutnya, keadaan juga menjadi buntu berikutan suaminya juga tidak lagi bersama sejak beberapa tahun lalu.

"Saya sebenarnya buntu dalam menguruskan persekolahan anak-anaknya dan mahu sangat mereka bersekolah, tetapi keadaan hidup membuatkan saya tidak tahu bagaimana hendak uruskan semuanya.
“Saya pendam lama perkara ini, namun jika ada pihak yang boleh membantu, saya bersedia menghantar mereka belajar,” katanya semasa ditemui di rumah mereka di Taman Naka Jaya di sini pada Rabu.
Ibu kepada tiga anak itu mengakui sering berasa sayu melihat dua anak lelakinya hanya bermain di rumah tanpa peluang menimba ilmu.
Menurutnya, perasaan timbul dalam dirinya kerana gagal memberikan pendidikan kepada anak-anaknya seperti kanak-kanak lain.
“Kadang-kadang rasa bersalah kerana mereka tidak dapat apa yang kanak-kanak lain nikmati. Bila bermain di padang, mereka tanya bila boleh ke sekolah seperti kawan-kawan.
“Abangnya nampak teruja jika bercakap tentang sekolah, tetapi adiknya masih takut-takut. Saya percaya jika abang mula dahulu, adik akan ikut,” ujarnya yang memperolehi pendapatan sekitar RM30 hingga RM40 sehari dengan membantu rakan berniaga.
Siti Nur Jamilah berkata, sebelum ini dia mencari rezeki dengan berniaga makanan, namun perniagaan itu terhenti akibat pandemik Covid-19.
Lebih menyedihkan, kediaman mereka juga telah lama terputus bekalan air dan elektrik kerana tidak mampu membayar bil.
“Kami hanya menggunakan lampu suluh atau lilin pada waktu malam, manakala telefon pula perlu dicas di tempat lain menggunakan 'power bank'.
“Kadang-kadang jiran turut membantu dengan menghulurkan makanan kepada kami sekeluarga,” katanya.

Nasib keluarga ini mendapat perhatian Pengerusi Anak Muda Madani Kedah, Datuk Zuraidi Rahim yang turut terkejut apabila dimaklumkan mengenai nasib dua beradik berkenaan.
Beliau melihat seharusnya isu keciciran pendidikan seperti itu tidak sepatutnya berlaku.
“Sejurus menerima maklumat, saya terus turun padang bersama guru dan menghubungi pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk tindakan segera.
“Kita akan memasukkan kedua-dua kanak-kanak ini ke sekolah harian secara berperingkat supaya mereka dapat menyesuaikan diri,” katanya.
Jelas Zuraidi, semua keperluan persekolahan akan disediakan bagi memastikan mereka dapat memulakan sesi pembelajaran tanpa halangan.
Beliau memberitahu, pihaknya juga akan membantu menyelesaikan isu bekalan air dan elektrik di rumah mereka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

