Tidak lagi derita biliary atresia, Medina kini semakin sihat dan ceria

MELAKA - Tidak mengenal putus asa untuk melihat anak tersayang kembali sihat akhirnya berhasil apabila Nur Asyura Medina Ikmal Haziq, tiga tahun, kini ceria seperti kanak-kanak lain selepas berjaya menjalani pembedahan pemindahan hati dan bebas daripada penyakit biliary atresia.
Kisah Medina sebelum ini mendapat liputan meluas media selepas kanak-kanak itu memerlukan dana bagi menjalani pembedahan di China.
Kesengsaraan yang dilalui turut mendapat perhatian Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang menyumbangkan RM120,000 daripada wang simpanannya untuk menunaikan haji bagi membiayai kos rawatan tersebut.
Hasil bantuan itu, Medina ditemani ibunya, Norfazlinah Ibrahim, 29, serta bapanya, Muhammad Ikmal Haziq Mazlan, 25, berangkat ke Shanghai, China pada 17 Disember lalu untuk menjalani pembedahan.
Muhammad Ikmal Haziq berkata, beliau sendiri menjadi penderma hati kepada anaknya dan selepas menerima rawatan selama dua minggu di sana, Medina dibawa pulang ke Malaysia pada 8 Januari lalu untuk rawatan susulan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Menurutnya, keputusan untuk meneruskan pembedahan bukanlah sesuatu yang mudah memandangkan mereka sebelum itu hampir berputus asa melihat keadaan anak yang sering keluar masuk hospital sejak bayi.

“Pada awalnya kami sudah tidak sanggup melihat dia menjalani pembedahan, tetapi keadaan kesihatannya yang semakin merosot membuka hati kami untuk mengubah keputusan.
“Ketika berusia lapan bulan, berat badannya hanya sekitar tiga kilogram dan mengalami pendarahan, menyebabkan kami semakin bimbang,” katanya.
Katanya, dorongan daripada Presiden Biliary Atresia Malaysia Association (BAMA) telah membuka ruang untuk mereka mendapatkan pandangan lanjut mengenai keadaan Medina di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
“Walaupun pada awalnya doktor memaklumkan peluang pembedahan adalah tipis kerana berat badan Medina tidak mencukupi, kami tetap berusaha meningkatkan berat badan Medina.
“Alhamdulillah, selepas usaha berterusan, berat badannya berjaya ditingkatkan daripada 3kg kepada 10kg sehingga membolehkan pembedahan dilakukan,” katanya.
Beliau tidak mungkin dapat melupakan detik paling mencemaskan apabila anaknya hampir disahkan meninggal dunia selepas mengalami sesak nafas dan tidak memberi respons dalam tempoh agak lama, sekitar 45 minit.
“Ketika itu doktor memaklumkan anak kami sudah tiada dan dalam proses mengeluarkan sijil pengesahan kematian, namun secara tiba-tiba dia kembali sedar tanpa bantuan alat.
“Melihatnya yang tidak berputus asa untuk berjuang hidup menjadi titik perubahan untuk kami turut berusaha memberikan rawatan sebaiknya demi melihat Medina sembuh,” katanya.
Tambahnya, hasil usaha berkenaan akhirnya membuahkan hasil apabila keadaan Medina kini semakin baik dan aktif seperti kanak-kanak lain.
“Selepas pemindahan hati, kami melihat perubahan ketara apabila dia tidak lagi lemah, tiada lagi mata kuning dan perut buncit serta sudah boleh berjalan dan bermain seperti biasa.
“Bagi kami, ini satu keajaiban dan kami sangat bersyukur,” katanya.
Muhammad Ikmal turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu termasuk orang ramai yang menyumbang dana serta mendoakan kesihatan anaknya.
“Tanpa bantuan semua pihak, kami tidak mampu untuk melalui semua ini.
“Saya berharap suatu hari nanti dapat mempertemukan Medina dengan mereka yang pernah membantu supaya dia tahu siapa yang berjasa dalam hidupnya,” katanya.
Sementara itu, Dr Akmal turut meluahkan rasa syukur melihat perkembangan positif Medina selepas melalui detik sukar sebelum ini.
Beliau masih mengingati saat keputusan dibuat untuk menghantar kanak-kanak itu menjalani pembedahan, meskipun peluang kejayaan pembedahan sekitar 50 peratus.
“Saya tidak terungkap dengan kata-kata. Ketika itu doktor sendiri memberitahu peluang 50-50 dan kita hanya mampu memohon doa daripada orang ramai agar pembedahan berjaya.
“Tetapi hari ini apabila melihat Medina sudah boleh berjalan, makan dan minum seperti biasa, itu satu kebahagiaan yang tidak dapat digambarkan,” katanya.
Beliau berkata, kisah Medina cukup menyentuh hatinya apatah lagi keputusan membantu menggunakan wang simpanan haji dibuat pada saat akhir ketika menerima mesej daripada bapa kanak-kanak itu.
“Jumlah yang diperlukan ketika itu kebetulan sama seperti wang yang saya ada untuk tujuan menunaikan haji, jadi bagi saya itu sangat sentimental.
“Namun, bantuan ini bukan hanya untuk Medina, sebaliknya sebagai inspirasi kepada masyarakat bahawa masih ramai kanak-kanak lain yang memerlukan bantuan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru agar lebih ramai tampil membantu golongan memerlukan kerana sumbangan walaupun kecil mampu menyelamatkan nyawa.
“Saya percaya jika semua orang memainkan peranan, kita boleh membantu lebih ramai pesakit yang memerlukan rawatan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau turut mencadangkan agar kerajaan memperkukuh sektor kesihatan khususnya dalam bidang pemindahan organ yang masih kekurangan kepakaran.
Menurutnya, Malaysia mempunyai kemudahan tetapi bilangan pakar masih terhad menyebabkan ramai pesakit terpaksa mendapatkan rawatan di luar negara.
“Kerajaan perlu melihat perkara ini secara serius termasuk membawa pulang pakar dari luar atau menjemput mereka berkhidmat di negara ini.
“Dalam tempoh lima hingga enam tahun, kita berharap dapat melahirkan lebih ramai pakar tempatan supaya rawatan seperti ini boleh dilakukan sepenuhnya di dalam negara,” katanya.
Ringkasan AI
- Nur Asyura Medina Ikmal Haziq, tiga tahun, berjaya menjalani pembedahan pemindahan hati dan bebas daripada penyakit biliary atresia. Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, menyumbangkan RM120,000 untuk membiayai kos pembedahan Medina di China. Medina dibawa ke China bersama kedua ibu bapanya dan bapanya menjadi penderma hati. Usaha menambah berat badan Medina berjaya membolehkan pembedahan dilakukan setelah usahanya hampir disahkan gagal. Dr Akmal menyeru kerajaan dan masyarakat untuk memperkukuh sektor kesihatan dan membantu golongan memerlukan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

