Cekal harungi hidup demi anak tersayang

KUANTAN – Tatkala wanita seusianya berehat menikmati hari tua, seorang warga emas memilih menghabiskan sisa hidup dengan menjadi 'tangan dan kaki' anak sulungnya yang lumpuh sejak tiga tahun lalu.
Menurut Salmiah Muhammad, 55, kasih sayangnya terhadap Nurul Syazwani Shamran, 35, tidak pernah luntur.
“Setiap hari tugas saya memberi susu melalui tiub, memandikan dan menukar lampin selain melakukan senaman ringan pada kaki serta tangannya bagi melancarkan peredaran darah.
"Tetapi ada kalanya saya terpaksa meninggalkannya seketika kerana perlu menjalani pemeriksaan kencing manis, darah tinggi dan kolesterol secara berkala di klinik kesihatan.
"Jadi saya kena kuat demi dia. Kalau ibu tidak kuat, anak juga tidak akan kuat,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Cherating Damai di sini, baru-baru ini.

Bercerita kepayahan dilalui, ibu kepada enam anak ini berkata, pernah sekali dirinya tidak sihat sehingga menangis di hadapan Nurul Syazwani.
"Apabila dia melihat saya menangis, dia juga menangis seolah-olah memahami apa saya rasakan, tetapi dia tidak boleh bercakap apa-apa dan saya pula tidak mempunyai tempat untuk meluahkan perasaan,” kongsinya sayu.
Salmiah berkata, Nurul Syazwani adalah ibu kepada empat anak adalah seorang periang, namun segalanya berubah selepas mengalami demam pada 2023.
Menurutnya, anaknya dibawa ke Hospital Kemaman, Terengganu dan menerima rawatan, malah pernah ditidurkan.
Ujar Salmiah, keadaan kesihatan anaknya terus merosot sehingga akhirnya lumpuh seluruh badan dan kini hanya mampu minum susu melalui saluran khas.
“Menantu saya tidak mampu menjaganya sepenuh masa kerana perlu bekerja selain menguruskan empat anak mereka berusia tiga hingga 11 tahun.
"Suami saya pula, Syafie Mohammad Nor meninggal dunia dua tahun lalu akibat serangan jantung," jelasnya.
Menurut Salmiah, dia kini hanya bergantung sepenuhnya kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Ringkasan AI
- Seorang wanita warga emas menjaga anaknya yang lumpuh sepenuh masa.
- Anak sulungnya, Nurul Syazwani, menjadi lumpuh selepas demam pada 2023.
- Salmiah menjalani pemeriksaan kesihatan berkala sementara tetap menjaga anaknya.
- Suami Salmiah meninggal dunia, jadi beliau bergantung pada bantuan JKM dan PERKESO.
- Menantu tidak dapat menjaga Nurul sepenuh masa kerana bekerja dan menjaga empat anak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

