PDRM perinci rangkaian data kontak individu Covid-19: KPN


Abdul Hamid Bador
Abdul Hamid Bador
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini dalam usaha memperincikan data termasuk daripada kluster tabligh di Sri Petaling bagi mengenal pasti rangkaian kontak pesakit wabak Covid-19, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata, berdasarkan perincian itu, polis akan mengenal pasti kemungkinan rangkaian kontak rapat pesakit Covid-19 untuk disalurkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM).

Semua tugasan itu dilakukan oleh pasukan petugas khas di bawah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Huzir Mohamed, yang bertugas 24 jam mengikut shift.

“Pasukan petugas ini telah menggerakkan aset teknologi yang kami ada di JSJ untuk membuat analisa daripada data-data yang dibekalkan oleh KKM.

“(Kira-kira) 40,000 data yang diperincikan satu persatu, setakat ini beberapa daerah kami telah kenal pasti siapakah daripada seorang yang positif, siapa kumpulan sasaran yang sepatutnya tampil ke KKM untuk saringan,” katanya kepada Bernama di Bukit Aman di sini hari ini.

Mengenai kluser tabligh, Abdul Hamid berkata, polis telah membantu KKM untuk mengenal pasti sehingga hampir 11,000 jemaah yang turut serta pada perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling dari 28 Februari hingga 1 Mac lalu.

Beliau berkata, berdasarkan data yang telah diperhalusi menggunakan teknik yang ada di JSJ, pihak polis telah dapat mengenal pasti rangkaian kontak rapat jemaah itu, perjalanan mereka dan siapa pula yang mungkin dijangkiti.

“Kami dapat memberikan satu analisa ramalan, kami boleh ramal daripada analisa bahawa seorang jemaah tabligh ini yang telah disahkan positif, siapakah orang yang dalam rangkaiannya yang berkemungkinan besar kena Covid-19.

Artikel Berkaitan:

“Kami kenal pasti orang itu dan kami dapatkan alamat mereka dan kami bekalkan kepada KKM supaya KKM akan memanggil mereka. Kami cuba dapatkan nombor telefon, alamat lengkap, ic (kad pengenalan)...semua kita dapat,” katanya.

Beliau berkata, kebanyakan kumpulan tabligh itu telah disaring dan polis menyeru orang ramai agar tidak mengecam dan mendiskriminasikan ahli tabligh dengan meningkatkan kebencian terhadap golongan itu.

Abdul Hamid berkata, selain itu pasukan khas berkenaan juga memberikan maklumat pengenalan diri mengenai ahli tabligh yang berada di luar negara.

“Apabila memperoleh maklumat mereka, kami akan memaklumkan kepada pihak Jabatan Imigresen untuk menunggu kepulangan mereka di pintu masuk negara.

Sebelum ini, Bernama melaporkan sebanyak 95 peratus peserta perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling, di sini, telah tampil membuat saringan kesihatan bagi Covid-19, manakala baki lima peratus lagi sedang dijejaki untuk memastikan mereka juga tampil membuat saringan Covid-19.

Susulan itu, polis menubuhkan pasukan petugas melibatkan pegawai dan anggota JSJ di semua peringkat daerah dan kontinjen polis negeri dalam usaha mengesan mereka yang menghadiri perhimpunan itu. - Bernama