Sembilan lelaki proses air ketum ditahan

Mohd Khairiel (kiri) bersama Timbalan Ketua Polis Daerah Jempol, Deputi Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor menunjukkan daun ketum yang dirampas.
Mohd Khairiel (kiri) bersama Timbalan Ketua Polis Daerah Jempol, Deputi Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor menunjukkan daun ketum yang dirampas.
A
A
A

JEMPOL- Sembilan lelaki ditahan polis kerana disyaki memproses air ketum dipercayai untuk dijual kepada pembeli di sekitar kawasan berhampiran di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Mohd Khairiel Mohd Arif berkata, dalam serbuan pertama enam daripada semua individu berkenaan ditahan di sebuah rumah di Kampung Baru Ayer Hitam lebih kurang jam 2 petang.

"Dalam serbuan itu, suspek sedang duduk di hadapan rumah dalam keadaan mencurigakan dan mereka cuba meloloskan diri sebaik sahaja menyedari kehadiran polis namun kesemuanya berjaya ditahan.

"Hasil pemeriksaan lanjut di bahagian dapur, polis menjumpai lima peket plastik berisi cecair disyaki air ketum dengan anggaran berat 7.5 Liter dalam peti ais.

"Kesemua air ketum ini dipercayai untuk dijual sekitar kawasan berhampiran dan turut menjumpai satu peket satu plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis Syabu dengan anggaran berat, 3.63 gram di bawah tilam serta peralatan kaca diubahsuai untuk menghisap dadah di atas lantai simen," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Menurut Mohd Khairiel, lanjutan daripada tangkapan tersebut, polis menyerbu lokasi kedua di Felda Lui Selatan pada 2 jam 3.30 petang dan menahan tiga lagi lelaki dipercayai melakukan kerja memproses dan menjual air ketum.

"Polis turut menjumpai satu tong plastik mengandungi cecair disyaki air ketum, dua botol berisi air disyaki air ketum sebanyak 2 liter di tepi peti ais, satu periuk besar disyaki digunakan untuk merebus daun ketum di bawah singki dapur dan satu guni plastik berisi daun ketum di dalam bilik air.

"Kesemua suspek berusia dari 24 hingga 58 tahun diberkas telah dibawa balik ke IPD Jempol dan dua daripadanya positif dadah selebihnya negatif. Kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 12 (3) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel Berkaitan: