Tunku Muhriz sempurnakan Istiadat Penzahiran Darjah Kebesaran Negeri Sembilan

SEREMBAN - Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan menyempurnakan Istiadat Penzahiran Darjah Tertinggi Negeri Sembilan (DTNS) dan Darjah Mulia Negeri Sembilan (DMNS) di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah, semalam.
Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan dalam kenyataan memaklumkan penerima DTNS ialah Undang Luak Sungei Ujong Datuk Klana Petra Muhammad Faris Johari, Undang Luak Jelebu Datuk Mendika Menteri Akhirulzaman Datuk Azrin Khairi dan Undang Luak Rembau Datuk Sedia Raja Hassan Ab Hamid.
Tiga penerima DMNS ialah Tok Puan Sungei Ujong Sharifah Amirah Syed Ismail Ash-Shahab, Tok Puan Jelebu Datin Norazizan Mamat dan Tok Puan Rembau Asmah Yaakob.
DTNS ialah darjah kebesaran dianugerahkan khas kepada Undang Yang Empat serta Tunku Besar Tampin manakala DMNS dianugerahkan khas kepada Tok Puan Undang Yang Empat serta Tunku Isteri, Tunku Besar Tampin.
Yang turut berangkat ke majlis itu ialah Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud, Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dan Tunku Panglima Besar Tunku Zain Al-'Abidin.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan Datuk Mohd Zafir Ibrahim, Penasihat Undang-Undang Negeri Sembilan Datuk Muzalmah Mustapha Kamal, Pegawai Kewangan Negeri Sembilan Datuk Masri Razali, pegawai daerah Seremban, Port Dickson, Jelebu dan Rembau serta wakil luak.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
