UKM bawa isu pembinaan kuil ke Mesyuarat Limas Selangor

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memaklumkan bakal membawa isu pembinaan kuil di atas sebahagian tanahnya ke Mesyuarat Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (Limas) Selangor.

Pusat Komunikasi Korporat UKM dalam kenyataan berkata, keputusan itu dicapai selepas pihak pengurusan universiti mengadakan satu sesi perbincangan dengan kerajaan negeri Selangor.

Menurut kenyataan tersebut, pengurusan perlu menunggu maklum balas dan tindakan lanjut daripada pihak kerajaan negeri sebelum sebarang langkah seterusnya dapat dilaksanakan.

"Sebarang tindakan perlu melalui prosedur ditetapkan, melibatkan pertimbangan dan keputusan pihak berkuasa termasuk kerajaan negeri Selangor bagi memastikan penyelesaian yang menyeluruh, berhemah serta tidak menyinggung mana-mana pihak," menurut kenyataan itu pada Isnin.

UKM turut berharap isu berkenaan dapat diselesaikan secara tuntas memandangkan perkara berkenaan memerlukan pendekatan berhati-hati serta berperingkat tanpa mengambil tindakan yang agresif atau tergesa-gesa.

"Kami akan terus memantau perkembangan dan bergantung kepada tindakan pihak berkuasa yang berkenaan untuk langkah seterusnya," katanya.

UKM dalam masa sama meminta semua pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan atau ketegangan sesama komuniti.

"Keprihatinan masyarakat berkenaan isu ini amatlah dihargai oleh pihak UKM," ujar kenyataan itu lagi.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • UKM akan bawa isu kuil ke Mesyuarat Jawatankuasa Khas Agama Selangor.
  • Keputusan dibuat selepas perbincangan UKM dengan kerajaan negeri.
  • UKM menunggu maklum balas kerajaan negeri untuk tindakan lanjut.
  • Semua tindakan mesti melalui prosedur berkuasa termasuk keputusan negeri.
  • UKM harap isu selesai cara berhati-hati dan minta elak spekulasi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!