Malaysia perlu ubah strategi pelancongan, fokus pasaran Timur

TAIPING - Sektor pelancongan negara perlu melakukan penukaran strategi bagi menangani kesan krisis Asia Barat yang sedang berlaku ketika ini.
Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata, antara langkah yang boleh diambil adalah mengalihkan fokus pelancongan dengan memberi tumpuan kepada pasaran Timur serta negara jiran sebagai sumber kemasukan pelancong baharu.
Menurutnya, krisis global itu memberi tempias kepada industri pelancongan di seluruh dunia dan tiada negara yang terkecuali daripada kesannya.
Bagaimanapun, beliau berkata, Malaysia dilihat berada dalam kedudukan lebih baik berbanding negara lain susulan kestabilan serta bekalan tenaga yang mencukupi.
“Jika kita lihat negara sekitar, ada yang berdepan kenaikan harga bahan api malah turut mengalami kekurangan bekalan.
“Sebaliknya di Malaysia, kita masih menikmati harga yang stabil dan bekalan yang mencukupi, dan ini menjadi faktor penting untuk menarik pelancong,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pengubahsuaian Dalaman Pusat Interpretasi Pelawat dan Pelancaran Jejak Kedamaian Taiping di Menara Jam Taiping di sini pada Isnin.
Sze Yee berkata, pelancong lazimnya memilih destinasi yang stabil dan selamat berbanding negara yang berdepan ketidaktentuan.
Katanya, krisis di Asia Barat turut memberi kesan kepada rangkaian penerbangan global memandangkan rantau itu merupakan hab penting penerbangan antarabangsa.
“Apabila berlaku krisis, penerbangan bukan sahaja dibatalkan kerana kekangan bahan api, malah faktor keselamatan turut menjadi pertimbangan.
“Ini menyebabkan syarikat penerbangan terpaksa menggunakan laluan lebih jauh yang meningkatkan kos serta tempoh perjalanan,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau berkata, Malaysia perlu mengambil peluang dengan menarik pelancong dari negara yang terjejas, termasuk golongan berpendapatan tinggi yang mencari destinasi alternatif.
Menurutnya, konsep bekerja secara jarak jauh juga membuka ruang kepada pelancong untuk tinggal sementara di Malaysia sepanjang tempoh krisis.
"Dalam isu ini, sektor pelancongan domestik turut mendapat manfaat apabila lebih ramai rakyat memilih untuk bercuti dalam negara berbanding ke luar negara," katanya.
Ringkasan AI
- Sektor pelancongan negara perlu tukar strategi hadapi krisis Asia Barat.
- Fokus pelancongan dialihkan kepada pasaran Timur dan negara jiran.
- Malaysia lebih stabil dan mempunyai bekalan tenaga mencukupi.
- Krisis Asia Barat jejaskan rangkaian penerbangan global.
- Peluang tarik pelancong terjejas, termasuk pelancong berpendapatan tinggi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

