Malaysia sasar Indeks Keamanan Global ke tangga kesembilan

KUALA LUMPUR - Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyasarkan Malaysia mencapai kedudukan kesembilan dalam Indeks Keamanan Global (GPI) menjelang pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, indeks ini menjadi rujukan penting terutamanya bagi pelabur kerana tiada pelabur mahu menanam modal besar tanpa jaminan keamanan.
"Jadi sempena Hari Polis ke-219 ini, kita ulangi tekad untuk mempertahankan kedudukan ini dengan sasaran dilonjakkan ke tangga sembilan daripada kedudukan ke-13 dan kita ada lima tahun untuk mencapai perkara itu," katanya.
Saifuddin Nasution berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghargai majlis Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-219 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini pada Rabu.
Turut hadir, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.
Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, dalam usaha mengekalkan kedudukan dalam GPI, kementerian sentiasa memastikan undang-undang negara menepati setiap perkembangan dan keperluan semasa.
"Tindakan memperbaharui undang-undang seperti melakukan pindaan akta berkaitan dilaksanakan secara berterusan.
"Bagaimanapun kita harus mengakui terdapat pelbagai pindaan sedang dalam proses penelitian termasuk akta-akta yang merentasi pelbagai kementerian yang penting dan akan membantu kita mengekalkan keamanan negara," katanya.
Ringkasan AI
- Kementerian Dalam Negeri menyasarkan Malaysia mencapai kedudukan kesembilan dalam Indeks Keamanan Global menjelang pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13
- Indeks Keamanan Global menjadi rujukan penting bagi pelabur
- Saifuddin Nasution mengulangi tekad untuk menaikkan kedudukan Malaysia ke tangga sembilan dalam lima tahun
- Upaya pembenahan melibatkan perbaharuan undang-undang untuk memenuhi perkembangan semasa
- Pindaan akta dilaksanakan secara berterusan untuk mengekalkan keamanan negara
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
