20,000 pek makanan bantu rakyat memerlukan: Kon Yeow

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan negeri menyediakan 20,000 pek bantuan bekalan makanan bagi membantu mereka yang memerlukan terutama sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, pek yang mengandungi beras, tepung gandum, minyak masak, mi, biskut, minuman coklat, gula dan makanan tin itu akan diagihkan minggu depan.

Menurutnya, antara kumpulan sasar yang diberi keutamaan ialah penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), penerima bantuan Program Agenda Ekonomi Saksama (AES) dan penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) atau rumah kos rendah.

"Bantuan ini juga akan diberikan kepada individu atau keluarga yang telah dikenal oleh wakil rakyat di kawasan mereka.

"Sistem pengagihan makanan berpusat ini akan dipantau dari semasa ke semasa untuk penambahbaikan," katanya pada sidang akhbar yang disiarkan menerusi FB Live di sini hari ini.

Sementara itu, dalam perkembangan sama Kon Yeow berkata, kerajaan negeri telah mengagihkan topeng muka, sarung tangan dan termometer inframerah kepada kakitangan barisan hadapan dan semua pejabat wakil rakyat.

Katanya, setakat ini, setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) diberikan 2,000 topeng muka agihan kepada rakyat di kawasan masing-masing.

"Saya akan memastikan lebih banyak topeng muka disumbangkan kepada petugas barisan hadapan kita serta rakyat secara amnya apabila bekalan yang seterusnya sampai di Pulau Pinang," katanya.

Artikel Berkaitan: