Laluan utama di Kelantan terus sesak

KOTA BHARU – Hari terakhir cuti Aidilfitri menyaksikan laluan utama di negeri ini terus sesak apabila perantau mula pulang ke ibu kota, selain orang ramai mengambil peluang menziarahi saudara-mara.
Tinjauan mendapati laluan Kota Bharu ke Machang hingga ke Kuala Krai antara paling terjejas dengan kenderaan bergerak perlahan.
Laluan dari Pengkalan Chepa ke Pasir Mas turut mencatat pertambahan masa perjalanan berbanding kebiasaan terutama di bulatan Pasir Mas.

Seorang mekanik, Shaharani Shamsudin, 47, berkata, kesesakan mula berlaku seawal 1 Syawal dan semakin ketara menjelang hari terakhir cuti.
“Memang dah jangka jalan akan sesak, tapi orang ramai tetap keluar.
“Ramai yang dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing sambil singgah menziarahi saudara-mara, selain perantau dari Kuala Lumpur pun mula balik, jadi tambah padat,” katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, peniaga, Sarah Wahida Ahmad Radzi, 28, berkata, perjalanan dari Kota Bharu ke Machang yang lazimnya sekitar 45 minit kini mengambil masa hampir satu jam 30 minit.

Kesesakan paling ketara dirasai di kawasan Kok Lanas apabila jumlah kenderaan meningkat secara mendadak.
“Orang tahu jalan sesak, tapi hari terakhir cuti semua nak ambil peluang balik rumah sambil singgah beraya. Jadi memang kena bersabar,” ujarnya.
Kakitangan awam, Suzaini Shamsudin, 45, berkata, perjalanan dari Machang ke Kuala Krai turut terjejas apabila mengambil masa hampir dua jam berbanding kebiasaan kurang satu jam.
“Raya kali ini memang lama cuti dan hari ini terakhir cuti. Terima kasih PMX sebab boleh beraya lama ke rumah saudara kali ini, walaupun terpaksa redah kesesakan,” katanya.
Dia turut menasihatkan orang ramai supaya merancang perjalanan, memilih waktu sesuai dan sentiasa berwaspada ketika memandu dalam keadaan trafik perlahan bagi mengelakkan terperangkap di laluan sesak.
Ringkasan AI
- Hari terakhir cuti Aidilfitri menyaksikan laluan utama di Kelantan sesak kerana perantau pulang ke ibu kota dan ziarah saudara-mara
- Laluan Kota Bharu ke Machang hingga ke Kuala Krai antara yang paling terjejas dengan kenderaan bergerak perlahan
- Kesesakan mula berlaku seawal 1 Syawal dan semakin ketara menjelang hari terakhir cuti
- Perjalanan dari Kota Bharu ke Machang yang biasanya 45 minit, kini mengambil masa hampir satu jam 30 minit
- Kakitangan awam menyatakan perjalanan dari Machang ke Kuala Krai mengambil masa hampir dua jam, berbanding biasanya kurang dari satu jam
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

