Tiga rumah terbakar di Kota Bharu, Aidilfitri disambut suram

Kebakaran melibatkan tiga rumah teres dua tingkat, dua rumah terbakar 100 peratus dan satu lagi 80 peratus. Foto bomba
Kebakaran melibatkan tiga rumah teres dua tingkat, dua rumah terbakar 100 peratus dan satu lagi 80 peratus. Foto bomba
A
A
A

KOTA BHARU - Sambutan Aidilfitri suri rumah Rozmawani Abdullah suram selepas rumahnya musnah hampir 80 peratus dalam kebakaran di Lorong Rela Kampung Bunut Payong di sini pagi Sabtu.

Kebakaran itu turut memusnahkan dua rumah berdekatan.

Rozmawani, 42, berkata, bergegas membawa dua anaknya Muhammad Ammar Darwisy Mohd Fadzli,11, yang juga orang kurang upaya (OKU) fizikal dan Afiyah Hanan, lapan tahun, ke rumah jiran untuk menyelamatkan diri sebaik sahaja menyedari kebakaran itu.

Semasa kejadian, suaminya Mohd Fadzli Ab Rashid, 45, dan anak sulung mereka Muhammad Zafran Zarif, 14, tidak berada di rumah kerana ke Masjid Bunut Payong untuk solat sunat Aidilfitri.

"Saya tidak sempat mengambil dokumen milik suami dan hanya mampu menyelamatkan beg pakaian raya yang berada di ruang tamu.

"Rasa sedih dengan dugaan kami sekeluarga. Ketika orang lain bergembira menyambut 1 Syawal kami sebaliknya apabila rumah terbakar,” katanya semasa dihubungi pada Sabtu.

Rozmawani bersyukur kerana kebakaran dari rumah seorang pesara yang telah ke masjid, disedari anak jirannya Muhammad Fitri Mat Nawi, 28, yang membantunya dalam situasi itu.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Darulnaim PBK II Mohd Amin Mohd Kari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.27 pagi dengan kebakaran melibatkan tiga rumah teres dua tingkat.

"Dua rumah terbakar 100 peratus manakala sebuah lagi 80 peratus namun tiada mangsa yang cedera,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Amin berkata, operasi pemadaman yang melibatkan 22 anggota berjaya mengawal api pada jam 9.44 pagi dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan. - Bernama

 

 

 

 

 

 

Ringkasan AI

  • Sambutan Aidilfitri Rozmawani Abdullah suram selepas rumahnya musnah hampir 80 peratus akibat kebakaran
  • Kebakaran juga memusnahkan dua rumah berdekatan di Lorong Rela Kampung Bunut Payong
  • Rozmawani menyelamatkan diri bersama dua anaknya ketika suaminya dan anak sulungnya tidak berada di rumah
  • Hanya mampu menyelamatkan beg pakaian raya, sedangkan dokumen penting suami tertinggal
  • Kebakaran melibatkan tiga rumah teres dua tingkat, dua rumah terbakar 100 peratus dan satu lagi 80 peratus, tiada mangsa cedera

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!