Dua pantai Kelantan dikenal pasti 'hotspot' kes lemas

BACHOK – Pantai Kemayang dan Pantai Irama dikenal pasti sebagai titik panas (hotspot) kes lemas apabila merekodkan antara jumlah tragedi tertinggi di daerah ini bagi tempoh lima tahun sejak 2021.
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintenden Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, sempena cuti musim perayaan ini, orang ramai yang merancang untuk berkelah atau bermandi-manda diharap lebih berhati-hati.
"Kedua-dua lokasi itu dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi berdasarkan statistik kejadian yang direkodkan sepanjang tempoh berkenaan.
"Pantai Kemayang mencatatkan sekurang-kurangnya lima kes melibatkan lima mangsa, manakala Pantai Irama turut merekodkan beberapa kejadian termasuk kes terbaharu pada tahun ini.
"Berdasarkan rekod, kebanyakan mangsa adalah lelaki dan ditemui sama ada di lokasi kejadian atau hanyut ke kawasan berhampiran dalam tempoh tertentu," katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Beliau memberitahu, bagi tahun 2025 sahaja, lima kes direkodkan membabitkan enam mangsa dengan dua daripadanya berlaku di Pantai Irama dan Pantai Kemayang.
Ujarnya, selain itu kes lemas turut dilaporkan di kawasan tali air dan sungai termasuk di Kampung Budi, Kubang Telaga dan Sungai Mujur, Jelawat.

Mengulas lanjut, Mohamad Ismail memberitahu, statistik tahun 2023 menunjukkan peningkatan ketara apabila lapan kes direkodkan di beberapa pantai utama termasuk Pantai Kemayang selain Pantai Melawi, Pantai Damai, Pantai Sri Nipah dan Pantai Telong.
Sementara itu beliau berkata, enam kes direkodkan pada tahun 2024 melibatkan lokasi seperti Pantai D’Aur, Pantai Kemayang dan beberapa kawasan tali air di sekitar daerah ini.
Sehubungan itu ujarnya, polis mempergiatkan langkah pencegahan bagi mengelakkan kejadian berulang terutama di dua lokasi berkenaan yang dikenal pasti sebagai titik panas kes lemas.
"Rondaan berkala oleh Unit MPV dilakukan empat kali sehari manakala Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dua kali sehari di kawasan tumpuan.
"Pemantauan turut dilaksanakan oleh pasukan ronda cegah jenayah melibatkan empat balai di bawah pentadbiran IPD Bachok,” katanya.
Tambah beliau, hebahan keselamatan melalui pembesar suara juga dilakukan secara berterusan bagi memberi peringatan kepada pengunjung.
"Orang ramai dinasihatkan agar lebih berwaspada dan tidak mengambil risiko ketika beriadah di pantai ketika keadaan ombak kuat atau cuaca tidak menentu terutama pada musim perayaan ini," katanya.
Ringkasan AI
- Pantai Kemayang dan Pantai Irama dikenal pasti sebagai titik panas kes lemas di Bachok sejak 2021
- Kedua-dua lokasi itu merupakan kawasan berisiko tinggi dengan Pantai Kemayang mencatatkan sekurang-kurangnya lima kes melibatkan lima mangsa
- Statistik tahun 2023 menunjukkan peningkatan ketara dengan lapan kes lemas di beberapa pantai termasuk Pantai Kemayang
- Polis mempergiatkan langkah pencegahan di kedua-dua pantai dengan rondaan berkala dan pemantauan oleh pasukan ronda cegah jenayah
- Orang ramai dinasihatkan untuk lebih berwaspada dan tidak mengambil risiko ketika beriadah di pantai sempena cuti musim perayaan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


