Cuaca panas tahap satu: Penduduk empat daerah di Perak diminta waspada

IPOH - Penduduk di empat daerah iaitu Kinta, Kuala Kangsar, Selama dan Hulu Perak diminta berwaspada serta mengurangkan aktiviti luar rumah susulan cuaca panas tahap satu yang direkodkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada Isnin.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan berkata, situasi berkenaan memerlukan langkah berjaga-jaga yang berterusan bagi mengelakkan sebarang risiko kepada kesihatan awam termasuk strok haba.
"Walaupun tahap satu, orang ramai perlu lebih peka terhadap kesan cuaca panas terutama jika terdedah dalam tempoh yang lama.
"Golongan berisiko seperti warga emas, kanak-kanak dan individu yang mempunyai penyakit kronik perlu lebih berhati-hati dalam keadaan cuaca panas ketika ini yang boleh mengakibatkan strok haba,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Selasa.
Sivanesan berkata, meskipun tiada sebarang kes strok haba atau kelesuan haba dilaporkan setakat ini di mana-mana fasiliti kesihatan di negeri ini, pemantauan berterusan sentiasa dilaksanakan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak.
"Kita akan terus bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi memastikan pemantauan cuaca dan kesihatan dijalankan secara berterusan. Kerjasama daripada orang awam juga amat penting bagi memastikan keadaan tidak menjadi lebih buruk,” katanya.
Pada Isnin, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam kenyatan menerusi Facebook memaklumkan 15 kes berkaitan cuaca panas dilaporkan setakat ini termasuk tiga kes strok haba dan satu kes kematian melibatkan seorang kanak-kanak yang tertinggal dalam kenderaan.
Sementara itu, MetMalaysia turut memaklumkan 14 kawasan di Semenanjung Malaysia berada pada tahap satu (berjaga-jaga) yang merekodkan bacaan suhu maksimum harian antara 37 hingga 40 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut. - Bernama
Ringkasan AI
- Penduduk di empat daerah iaitu Kinta, Kuala Kangsar, Selama dan Hulu Perak diminta berwaspada dan mengurangkan aktiviti luar rumah sebab cuaca panas tahap satu
- Situasi cuaca panas memerlukan langkah berjaga-jaga untuk elak risiko kepada kesihatan awam termasuk strok haba
- Golongan berisiko seperti warga emas, kanak-kanak dan individu dengan penyakit kronik perlu lebih berhati-hati
- Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak melakukan pemantauan berterusan terhadap situasi tanpa laporan kes strok haba setakat ini
- MetMalaysia memaklumkan 14 kawasan di Semenanjung Malaysia berada pada tahap satu cuaca panas dengan suhu maksimum harian antara 37 hingga 40 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
