Guan Eng henti kenyataan awam isu cukai tanah Pulau Pinang

Guan Eng. Foto fail Bernama
Guan Eng. Foto fail Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng akan menghentikan sementara semua kenyataan awam berhubung isu kenaikan cukai tanah di Pulau Pinang sehingga satu mesyuarat tiga pihak diadakan.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat bagi memberi ruang kepada perbincangan melibatkan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow sebagai usaha mencari penyelesaian terbaik terhadap isu berkenaan.

Menurutnya, beliau menghargai keprihatinan serta inisiatif Menteri Pengangkutan yang mengatur pertemuan tersebut susulan kontroversi kenaikan cukai tanah di negeri itu tahun melibatkan peningkatan sebahagiannya lebih 3,000 kali ganda.

"Sejak cadangan kenaikan ini dikemukakan tahun lalu, saya telah menggunakan semua mekanisme dalaman bersama kerajaan negeri dan Ketua Menteri sebelum menyuarakan ketidaksetujuan secara terbuka.

"Sehingga mesyuarat antara kami bertiga diadakan, saya tidak akan membuat sebarang kenyataan awam atau mengadakan sidang media bagi pihak pemilik tanah yang terjejas akibat kenaikan ini," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Sabtu.

Sebelum ini Anthony dilapor akan mengatur pertemuan antara Kon Yeow dan Guan Eng, bagi menyelesaikan pertikaian berterusan mengenai kadar cukai tanah baharu di negeri ini.

Beliau berkata, kepimpinan pusat parti amat bimbang dengan pertelingkahan terbuka dua pemimpin itu yang disifatkan sebagai tidak sihat serta tidak sesuai, terutama dalam keadaan ketidakpastian geopolitik dan ekonomi semasa.

Dalam pada itu, Guan Eng memberi jaminan bahawa pejabat Parlimennya di Bagan serta pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih akan terus beroperasi seperti biasa bagi membantu pemilik tanah terlibat.

Jelasnya, bantuan yang disediakan termasuk proses membuat rayuan terhadap kenaikan cukai tanah serta membantu mengisi borang rayuan.

Artikel Berkaitan:

"Setakat ini, kedua-dua pejabat saya telah membantu sehingga 800 pemilik tanah," ujarnya.

Ringkasan AI

  • Lim Guan Eng akan menghenti sementara semua kenyataan awam berhubung isu kenaikan cukai tanah di Pulau Pinang sehingga mesyuarat tiga pihak diadakan
  • Keputusan menghentikan kenyataan dibuat untuk memberi ruang perbincangan melibatkan Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook, dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow
  • Pertemuan diatur susulan kontroversi kenaikan cukai tanah yang meningkat lebih 3,000 kali ganda
  • Lim Guan Eng telah menggunakan semua mekanisme dalaman untuk bantahan sebelum menyuarakan ketidaksetujuan secara terbuka
  • Pejabat Parlimennya di Bagan dan pejabat ADUN Air Putih akan terus beroperasi untuk membantu pemilik tanah terjejas, termasuk proses rayuan kenaikan cukai

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!