Empat tahun tanpa baju raya demi rawatan anak sakit jantung

KOTA BHARU – Walaupun Aidilfitri hampir tiba, sebuah keluarga dari Kampung Buloh Poh di sini masih belum membuat sebarang persiapan termasuk membeli baju raya.
Peniaga pisang goreng, Nur Zawahir Che Yaakob, 38, mengakui tidak membuat sebarang persiapan Syawal kerana kekangan kewangan apabila terpaksa memberi sepenuh perhatian terhadap rawatan anak bongsunya yang menghidap penyakit jantung kronik sejak lahir.
Anaknya, Nurul Safura Nazihah Mohd Shukri, 9, murid Tahun Tiga di Sekolah Kebangsaan Buloh Poh, disahkan mengalami masalah jantung serius termasuk ketiadaan injap, saluran sempit dan kebocoran serta hanya mempunyai tiga ruang jantung.
“Sudah empat tahun saya tidak membeli baju, tetapi tidak kisah jika tiada baju raya, yang penting anak-anak.
“Tahun ini, Alhamdulillah anak sulung dan bongsu mendapat baju raya hasil sumbangan orang ramai, namun anak kedua berusia 12 tahun masih belum mempunyai baju raya,” katanya ketika ditemui di rumahnya pada Khamis.
Menurutnya, Nurul Safura sudah menjalani dua pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN), masing-masing pada tahun 2019 dan Februari tahun lalu, dengan kos rawatan hampir RM100,000.
“Pembedahan pertama menelan belanja RM55,000 yang dibantu zakat IJN, tetapi kami masih perlu membayar kos peralatan sekitar RM1,700.
“Tahun lalu, sekali lagi dia dibedah dengan kos RM75,000 melalui sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dan selebihnya ditanggung pihak IJN,” katanya ketika ditemui di Kampung Kubang Gendang di sini.
Dia berkata, keadaan kesihatan Nurul Safura masih memerlukan pemantauan rapi kerana lubang pada jantungnya belum tertutup sepenuhnya selain tidak boleh melakukan aktiviti lasak seperti berlari atau berbasikal.
Kanak-kanak itu juga perlu mengambil ubat pencair darah sepanjang hayat bagi mengelakkan risiko strok.
“Setiap malam pukul 10, dia akan ingat sendiri untuk mengambil ubat. Jika terlepas, memang berbahaya.
“Setiap bulan kami perlu ke Klinik Kok Lanas untuk mengambil ubat dan menjalani pemeriksaan darah, manakala rawatan susulan di Kota Bharu pula dua kali setahun dan ke IJN setahun sekali,” katanya.

Menurutnya, setiap kunjungan ke IJN memerlukan sekurang-kurangnya RM1,500 termasuk deposit rawatan RM500 dan kos perjalanan yang membebankan.
Nur Zawahir berkata, suaminya, Mohd Shukri Md Nor, 43, yang turut menghidap gout, hanya bergantung kepada pendapatan harian menjual pisang goreng dan air kelapa.
“Pendapatan pisang goreng tidak menentu sekitar RM160 hingga RM200 sehari, manakala jualan air kelapa pula hanya pada bulan puasa.
“Namun, musim hujan menyebabkan jualan kurang laku, jadi saya membuat kuih seperti ubi kayu dan ubi ketuk untuk menambah pendapatan,” katanya.
Tambahnya, kesempitan hidup memaksanya melakukan pelbagai cara termasuk meminta kebenaran meletakkan tabung derma di masjid bagi menampung kos rawatan anaknya.
“Walaupun segan, saya terpaksa melakukannya demi anak.
“Kadang-kadang kami terpaksa tidur dalam kereta yang disewa pada kadar RM150 sehari untuk ke Kuala Lumpur bagi mendapatkan rawatan,” ujarnya.
Menurutnya, dua lagi anaknya, Mohd Syakir, 12, dan Nurul Syafa Humairah, 15, kini mengikuti pengajian tahfiz masing-masing di Pasir Mas dan Machang.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun RHB Bank 10305360194048 atas nama Nur Zawahir Che Yaakob atau menghubunginya di talian 0179667047.
Ringkasan AI
- Keluarga Nur Zawahir Che Yaakob di Kampung Buloh Poh, Kota Bharu, tidak membuat persiapan Aidilfitri kerana kekangan kewangan akibat rawatan anak yang sakit jantung
- Anak bongsu, Nurul Safura Nazihah, 9 tahun, mengalami masalah jantung serius sejak lahir termasuk ketiadaan injap, saluran sempit dan mempunyai tiga ruang jantung
- Nurul Safura telah menjalani dua pembedahan di Institut Jantung Negara dengan kos rawatan hampir RM100,000, sebahagian ditanggung oleh zakat IJN dan MAIK
- Nurul Safura memerlukan pemantauan kesihatan yang rapi dan perlu mengambil ubat pencair darah seumur hidup untuk mengelak risiko strok
- Nur Zawahir dan suaminya bergantung pada pendapatan hariannya dari menjual pisang goreng dan air kelapa, serta membuat kuih untuk menambah pendapatan bagi menampung kos rawatan anak
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

