X

Kindly register in order to view this article
!

Pelantikan Abdul Hadi perkukuh hubungan diplomatik: Tuan Ibrahim

Tuan Ibrahim
A
A

KUALA LUMPUR - Pelantikan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah bertaraf menteri dilihat membuka peluang untuk memperkukuh hubungan diplomatik antara Malaysia dan negara-negara di rantau berkenaan.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata pelantikan itu juga berdasarkan latar belakang Abdul Hadi, yang juga Ahli Parlimen Marang, khususnya dalam bidang syariah dan sains politik.

"Saya fikir ini antara jalan awal untuk mendapatkan laluan kepada perbincangan di peringkat kerajaan bagi meningkatkan pelaburan dan menarik pelabur dari Timur Tengah ke negara kita. Misalnya, jika kita ada masalah melibatkan jualan sawit dan sebagainya, kita cuba untuk mencari pasaran kita di negara berkenaan.

"Tuan Guru (Abdul Hadi) juga mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin negara itu...bukan baharu, tetapi sudah berpuluh tahun, jadi kerajaan berpendapat beliau orang yang tepat dan mampu menyambung hubungan diplomatik berkenaan,” katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV, malam ini.

Menegaskan ia bukan lantikan politik, Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar berkata pelantikan Abdul Hadi itu juga dibuat bersandarkan kepada ketokohan dan kepimpinan yang ada pada beliau.

Abdul Hadi memiliki Ijazah Sarjana Muda Syariah dari Universiti Islam Madinah dan Ijazah Sarjana dalam bidang Sains Politik dari Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir.

Beliau juga pernah tersenarai antara 500 Muslim berpengaruh di dunia bagi kategori Pendakwah dan Pembimbing Rohani oleh ‘The Royal Islamic Strategic Studies’ yang berpusat di Jordan pada 2016.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi satu kenyataan, bersetuju melantik Abdul Hadi yang juga bekas Menteri Besar Terengganu dari 1999 hingga 2004, ke jawatan itu. -Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!