Pas tidak tunggang Islam raih sokongan rakyat - Abdul Hadi

Abdul Hadi (dua dari kiri) melancarkan Jentera Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada malam Sabtu.
Abdul Hadi (dua dari kiri) melancarkan Jentera Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada malam Sabtu.
A
A
A

KOTA BHARU - Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menafikan parti itu menunggang Islam dalam meraih sokongan rakyat sebagaimana dilemparkan oleh pihak lawan.

Abdul Hadi menegaskan, Pas tidak bertindak membawa sentimen tetapi ia adalah kewajipan agama.

"Politik ini merupakan sebahagian daripada agama dan ia merupakan salah satu kewajipan umat Islam.

"Ada yang cakap Pas sentiasa bawa fahaman tidak undi parti ini bukan Islam, dia (pihak terbabit) yang cakap, bukan kita... yang tentukan syurga, neraka ialah Tuhan. Kita ini buat amal untuk Tuhan reda," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas menyampaikan ceramah pada program Pakat Pertahan Kelantan: Pas Pilihanku dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV di sini pada Sabtu.

Hadir sama ialah, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan kepimpinan kerajaan Kelantan.

Menurut Abdul Hadi, tindakan parti lawan terutama DAP memainkan sentimen Islamofobia dengan tujuan menakutkan orang dengan Islam.

Beliau menegaskan, masyarakat tidak perlu takut dengan pemerintahan Islam kerana perkara tersebut tidak betul.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, DAP boleh datang ke Kelantan dan melihat bagaimana pemerintahan Islam di sini.

"Orang bukan Islam boleh hidup dengan aman di sini, begitu juga di Terengganu dan Kedah. Jadi dia (DAP) sebut Gelombang Hijau ini dengan tujuan untuk menakutkan orang ramai. Islamofobia la tu... tak betul-tak betul.

"Begitu juga dengan Parti Amanah Negara (Amanah) yang mendakwa kita parti songsang. Buka perlembagaan Pas dan buka perlembagaan Amanah, tengok perlembagaan parti masing-masing.

"Perlembagaan Pas hukum tertinggi adalah al-Quran dan Hadis, ijma' ulama dan Qias. Amanah apa perlembagaan dia? DAP apa perlembagaan dia? Kajilah perlembagaan parti masing-masing... tahulah songsang atau tidak," ujarnya.