Steven Sim bantu tanggung kos rawatan anak angkat, bangga ketabahan hadapi ujian

Steven menyerahkan sumbangan kepada Putri ketika menziarahi anak angkatnya itu baru-baru ini.
Steven menyerahkan sumbangan kepada Putri ketika menziarahi anak angkatnya itu baru-baru ini.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM – Menjelang sambutan Aidilfitri, Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong meluangkan masa menziarahi anak angkatnya yang baru sahaja keluar dari hospital, sekali gus menzahirkan rasa bangga terhadap ketabahan gadis itu mengharungi pelbagai ujian hidup.

Menurut beliau, anak angkatnya, Putri Mahimah Divya Ahmad Burhannuddin Pall, 24 kini sedang melanjutkan pengajian dalam bidang Media dan Komunikasi di Universiti Malaya (UM) sejak tahun 2023, selepas menamatkan diploma di Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Katanya, Putri baru-baru ini terpaksa menjalani pembedahan akibat masalah kesihatan dan masih perlu mengambil ubat secara berterusan bagi mengurangkan kesakitan.

“Saya sempat membantu menanggung sebahagian kos perubatannya namun ketika dia dirawat di hospital, saya tidak berkesempatan menziarahinya kerana jadual kerja yang padat.

“Baru-baru ini saya mengambil peluang menziarahinya di rumah memandangkan keadaannya semakin stabil,” katanya dalam satu perkongsian di Facebooknya pada Rabu.

Beliau berkata, Putri merupakan antara anak angkat yang amat dibanggakan kerana tidak pernah mengalah walaupun berdepan kesukaran hidup.

Jelasnya, keluarga Putri hidup dalam keadaan mencabar apabila kedua-dua ibu bapanya menghidap penyakit kronik termasuk bapanya yang merupakan pesakit jantung dan sedang menunggu untuk menjalani pembedahan pintasan.

“Dalam keadaan serba kekurangan, Putri bekerja sambilan sambil memberi tumpuan penuh terhadap pelajaran.

“Usahanya membuahkan hasil apabila menerima Anugerah Naib Canselor ketika di peringkat diploma dan kini sudah tiga kali memperoleh Anugerah Dekan sepanjang pengajian di UM,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, ketika kunjungan itu, Putri turut menunjukkan komputer riba yang dihadiahkan beberapa tahun lalu yang masih digunakan bagi menyokong pengajiannya.

Steven melihat komputer riba yang pernah dihadiahkan kepada Putri beberapa tahun lalu.
Steven melihat komputer riba yang pernah dihadiahkan kepada Putri beberapa tahun lalu.

“Saya amat bangga dengan pencapaiannya.

"Dia memaklumkan akan menjalani latihan industri tidak lama lagi dan saya turut menawarkan peluang untuk menjalani latihan di pejabat kementerian berdasarkan kelayakan akademiknya yang cemerlang,” katanya.

Dalam pada itu, Steven memaklumkan akan menanggung kos ubat-ubatan Putri sebanyak RM250 sebulan untuk tempoh setahun serta memberikan sedikit sumbangan bagi persiapan Aidilfitri.

Beliau turut berharap orang ramai dapat mendoakan agar segala urusan Putri dan keluarganya dipermudahkan serta diberikan kesembuhan.

Ringkasan AI

  • Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong menziarahi anak angkatnya, Putri Mahimah Divya Ahmad Burhannuddin Pall yang baru keluar dari hospital menjelang Aidilfitri
  • Putri sedang melanjutkan pengajian dalam bidang Media dan Komunikasi di Universiti Malaya selepas menamatkan diploma di Universiti Teknologi MARA
  • Putri menjalani pembedahan akibat masalah kesihatan dan perlu mengambil ubat berterusan
  • Steven membantu menanggung sebahagian kos perubatan Putri dan berbangga dengan ketabahannya mengharungi kesukaran
  • Steven menanggung kos ubat-ubatan Putri RM250 sebulan untuk setahun dan memberikan sumbangan Aidilfitri, serta menawarkan peluang latihan industri di pejabat kementerian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!