Inisiatif Ramadan KK MART agih 1,500 bekas bubur lambuk

BERSEMPENA Ramadan KK MART pada tahun ini sejumlah 1,500 bekas bubur lambuk diagihkan kepada penumpang bas di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Bahagian Operasi MEX Highway dan Masjid Ibnu Khaldun, Sungai Besi.
Inisiatif melibatkan kerjasama rakan strategik, Tmas Sdn Bhd dengan proses memasak, membungkus dan pengagihan semuanya dilakukan secara bersama.
Pengarah KK MART, Datuk Seri Dr KK Chai berkata, bulan Ramadan adalah bulan istimewa untuk meraikan kenalan dan pelanggan beragama Islam.
"Dengan lebih 1100 outlet KK MART di seluruh Malaysia, kami berupaya memperuntukan sumbangan tambahan kepada masyarakat.
“Cukup meriah Ramadan KK MART tahun ini. Rezeki kami dikongsi bersama. Terima kasih kepada pelanggan yang menyokong kami selama ini," katanya dalam satu kenyataan.

Tidak dilupakan, rutin berkala bantuan kepada Masjid Jamek Sultan Abdul Samad Kuala Lumpur turut diteruskan dan menariknya sempena bulan Ramadan ini, sumbangan digandakan dengan beras dan minyak masak untuk membuat bubur lambuk oleh pihak masjid disediakan KK MART.
Bubur ini kemudian diagihkan kepada jemaah dan NGO yang berkunjung menunaikan ibadah dan berbuka puasa.
Berbeza dengan Program Bubur Lambuk Malaysia MADANI, lebih 100 ribu bekas bubur diedarkan kepada seluruh kementerian, hospital, balai polis dan PULAPOL di sekitar Putrajaya dan Kuala Lumpur.
Penghasilan bubur lambuk dalam kuantiti besar ini melibatkan kerjasama KK MART dengan rakan strategik lain seperti D’Tandoor International Group of Restaurants, Tenaga Nasional Berhad, PERKESO dan Sunway Group.
Inisiatif ini dilaksanakan bagi menyemarakkan tradisi Ramadan dalam kalangan masyarakat.
Selain sumbangan bubur lambuk, KK MART turut menghulurkan sumbangan berbentuk barang keperluan termasuk beras, minyak masak, biskut, mee segera, air minuman, kurma, roti dan produk kebersihan.
Antara penerima sumbangan termasuk IIUM Holdings Sdn Bhd, Kesatuan Mahasiswa UKM, Rumah Anak Yatim Al-Kausar, Bangi dan Surau ArRamadaniah di Cheras.
Dalam pada itu, Malaysian Chinese Assembly Hall (MCAH) turut bekerjasama dengan KK MART menghulurkan bantuan stok makanan kepada tiga rumah kebajikan di sekitar Lembah Klang termasuklah Persatuan Kebajikan Anak Yatim Ummi, Rumah Titian Kaseh dan Rumah Kebajikan Baitul Ehsan.
Bagi sumbangan kewangan, anak-anak yatim mendapat rezeki berganda menerusi sumbangan kewangan yang disalurkan kepada Yayasan Waqaf Pendidikan Anak Yatim Atau Miskin Malaysia (YAWATIM) dan Pertubuhan Kebajikan Al-Jamiatul Khairiah.
YAWATIM menganjurkan majlis iftar di Perlis yang dirasmikan EXCO Kebajikan Negeri Perlis yang mewakili Menteri Besar Perlis, Datin Marzita Mansor manakala Pertubuhan Kebajikan Al-Jamiatul Khairiah meraikan anak-anak istimewa di Kuala Lumpur dengan majlis yang dihadiri TYT Melaka, Tun Seri Setia Dr Mohd Ali Rustam serta wakil dari Yeman, Labenon, Bangladesh, Maldives dan beberapa negara lain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
