Bencana alam di Vietnam sebabkan 409 maut atau hilang tahun ini

HANOI - Bencana alam yang berlaku secara berterusan dan teruk sejak awal 2025 di Vietnam mengakibatkan 409 orang maut atau hilang, selain 727 lagi cedera dengan kerugian ekonomi dianggarkan melebihi 85 trilion VND (US$3.2 bilion), lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).
Bencana turut menyebabkan 337,297 rumah runtuh, dihanyutkan, rosak atau kehilangan bumbung manakala 553,417 hektar sawah padi dan 376,792 hektar tanaman lain lagi ditenggelami air dan rosak.
Timbalan Ketua Jabatan Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti dan Komunikasi di bawah Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Daik Vietnam, Nguyen Ton Quan berkata, 14 taufan dan lima lekukan tropika berlaku di Laut Timur setakat tahun ini.
Jumlah itu hanya kurang satu daripada rekod 2017, yang menyaksikan 20 taufan dan lekukan tropika.
Jumlah tahun ini bagaimanapun dijangka terus meningkat kerana lekukan tropika sedang aktif di perairan Filipina dan berkemungkinan memasuki Laut Timur dan menjadi taufan ke-15 dalam beberapa hari akan datang.
Quan berkata, hujan lebat luar biasa dan banjir besar yang tidak pernah berlaku sebelum ini di 13 lembangan sungai di wilayah utara serta tengah Vietnam menyebabkan banjir teruk di kawasan bandar termasuk kawasan rendah.
Lebih membimbangkan, banyak kawasan dilanda pelbagai jenis bencana dalam tempoh masa yang singkat, mewujudkan corak bencana berganda, taufan berturut-turut, banjir berulang, banjir kilat dan tanah runtuh terutamanya di wilayah pergunungan utara, tengah serta kawasan tanah tinggi.
Semua kejadian itu menimbulkan ancaman serius terhadap infrastruktur pencegahan bencana, kemudahan awam dan sistem daik, sekali gus menyebabkan kerugian nyawa serta harta benda yang sangat besar.
Beliau meramalkan berbaki bulan 2025, masih terdapat risiko berlakunya banjir besar di wilayah tengah.
Secara khusus, dalam beberapa hari akan datang, taufan ke-15 mungkin terbentuk di Laut Timur dan berpotensi melanda daratan serta terus menyebabkan banjir di wilayah bahagian selatan-tengah.
Oleh itu, beliau menasihatkan agar pihak berkuasa tempatan memberi tumpuan kepada usaha memulihkan kerosakan akibat banjir baru-baru ini agar bersedia menghadapi bencana alam yang bakal berlaku. - Bernama
Ringkasan AI
- Bencana alam di Vietnam yang dilaporkan berlaku sejak awal 2025 mengakibatkan 409 orang maut atau hilang selain 727 cedera
- Kerugian ekonomi melebihi 85 trilion VND (US$3.2 bilion)
- Terdapat 337,297 rumah runtuh atau rosak dan lebih 900,000 hektar tanaman terjejas
- 14 taufan dan lima lekukan tropika telah berlaku di Laut Timur setakat tahun ini
- Ramalan memperingatkan potensi banjir besar dan taufan ke-15 yang mungkin terbentuk di Laut Timur
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
