Mula-mula lembut, kini jadi keras

A
A
A

MEMASUKI fasa kedua perintah kawalan pergerakan, polis menggunakan pendekatan tahap keras dalam menangani kedegilan mereka yang mengingkari peraturan. Mula-mula dulu pendekatan digunakan ialah berlembut, lebih banyak memberi nasihat dan memujuk.

Kemudian bertukar kepada pendekatan tegas iaitu dengan memberi amaran dan mengambil tindakan yang lebih berkesan.

Mereka yang berdegil dan terus keras kepala memang patut pun dikenakan pendekatan keras. Jangan berlembut dengan kepala batu. Rakyat menyokong tindakan keras polis.

RAMAI yang degil dan kepala batu mengingkari PKP yang dikuatkuasakan dalam usaha membendung merebaknya wabak Covid-19 yang telah meragut lebih 50 nyawa di negara kita.

Seperti yang dilaporkan media setakat hari ini polis telah menahan lebih 4,000 orang yang sengaja dan terang-terang mengingkari PKP.

Ramai telah direman, beratus telah dihadapkan ke mahkamah dan dikenakan hukuman denda dan penjara. Selebihnya sedang menunggu untuk diheret ke mahkamah.

Dengan sekian banyak ditangkap, direman, didenda dan dipenjarakan, masih ramai yang berani lagi melawan dan memperlekeh pihak polis yang gigih bertugas mengawal keadaan.

Maka Tok mencadangkan sekiranya pendekatan keras masih tidak menakutkan orang ramai, apa kata polis gunakan pendekatan ‘pelempang’. Orang keras kepala memang patut kena lempang. Puak-puak ini memang tidak makan nasihat dan pujuk-rayu. Mereka hanya makan pelempang.

Artikel Berkaitan:

MASUK semalam sudah empat kali kita tidak menunaikan solat Jumaat di masjid. Maka sesetengah orang kita mula bersungut dan marah-marah pihak pentadbir masjid dan surau kerana menutup tempat ibadat itu.

Mereka mula mengeluarkan fatwa dan hukum sendiri untuk mewajarkan masjid dan surau dibuka seperti biasa. Kata mereka kenapa tutup rumah ALLAH, kenapa takut kepada Covid-19, patut takut hanya kepada ALLAH.

Orang ini beria-ia benar mahukan masjid dan surau dibuka semula. Macam alim sangat. Padahal selama masjid dan surau dibuka dulu muka mereka jarang nampak ke masjid. Maka Tok harap apabila masjid dan surau dibuka semula nanti, orang ini datang memenuhi ruang solat, kalau hendak menjadi imam pun amat dialu-alukan.

UMAT Islam akan menyambut bulan puasa tidak lama lagi. Ada kemungkinan bazar Ramadan tidak ada seperti biasa sekiranya PKP diteruskan gara-gara Covid-19.

Tanpa bazar Ramadan hilanglah kemeriahan seperti tahun-tahun sebelumnya. Secara peribadi Tok akan terasa juga kehilangan ayam percik, rendang tok, ikan bakar dan beraneka kuih-muih tradisional yang biasanya muncul pada bulan Ramadan.

Mudah-mudahan Covid-19 tidak sahaja mengubah gaya hidup kita menerusi PKP, tetapi juga cara kita menjamu selera pada bulan puasa.

SEPERTI diberitakan PKP telah menyekat penyeludupan dan kemasukan beras Siam dari Thailand ke Kota Bharu, Kelantan.

Beras Siam sukar didapati di kedai-kedai atau di pasar raya. Kalau ada pun harganya berkali ganda daripada biasa, mahal macam bedil.

Maka mereka yang selama ini sudah terbiasa dengan beras Siam berasa gelisah, tidak berapa selera makan. Semua berharap PKP segera tamat dan beras Siam mudah diseludup seperti biasa.

Tok duduk KL tidak makan beras Siam atau beras-beras dari luar negara. Rasanya sesetengah orang kita, termasuk di Kelantan, belajar mengubah selera dan mula makan beras tempatan.

Sudah lama sangat terbiasa dengan manga Siam, dokong Siam, durian Siam dan beras Siam, inilah masanya kita bertukar kepada buah dan beras tempatan. Buah kita pun gebu juga!

Rupa-rupanya Covid-19 banyak mengubah selera kita.

AKHIR kalam kalau tidak ada ada bazar Ramadan sukar juga peniaga dan penjaja kecil kita hendak mencari rezeki pada bulan puasa. Kesian juga pada orang seperti Mak Cik Kiah.