Kehadiran kapal AS cetus persoalan, PN gesa kerajaan beri penjelasan

Takiyuddin
Takiyuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) menggesa kerajaan memberi penjelasan berhubung laporan kehadiran aset tentera laut Amerika Syarikat (AS) di perairan negara yang didakwa boleh menimbulkan persepsi bercanggah dengan dasar berkecuali Malaysia.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya mengalu-alukan penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai pendirian Malaysia yang tidak terlibat dalam sebarang bentuk konflik antara kuasa besar.

Menurutnya, pendirian tersebut selaras dengan komitmen negara terhadap prinsip berkecuali, keamanan dan kestabilan serantau.

"Namun begitu, PN memandang serius laporan media mengenai kehadiran aset tentera laut AS di perairan Malaysia, khususnya di Pulau Pinang.

"Aset yang dilaporkan termasuk kapal pemusnah periuk api (MCMV) yang lazimnya digunakan untuk mengesan dan meneutralkan periuk api di laluan maritim strategik," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sebelum ini media melaporkan, kapal tempur pesisir (LCS) milik Tentera Laut AS, USS Tulsa dan USS Santa Barbara dilaporkan berlabuh di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT), Pulau Pinang.

Menurut portal berita pertahanan, The War Zone (TWZ), kedua-dua kapal yang digunakan bagi operasi penyapuan ranjau itu sebelum ini ditempatkan di Asia Barat selepas tiba di Bahrain sekitar tahun lalu.

Dalam pada itu, Takiyuddin menegaskan, aset seumpama itu sering dikaitkan dengan operasi di laluan kritikal seperti Selat Hormuz yang kini menjadi antara titik panas konflik ketenteraan melibatkan AS dan Iran.

Sehubungan itu ujarnya, kehadiran aset berkenaan menimbulkan persoalan sama ada Malaysia berperanan memudah cara atau terlibat secara tidak langsung dalam operasi ketenteraan berkait konflik luar.

Artikel Berkaitan:

"Keadaan ini berpotensi menimbulkan persepsi yang bercanggah dengan pendirian berkecuali Malaysia, sekali gus menjejaskan keyakinan rakyat dan imej negara di peringkat antarabangsa.

"Penjelasan itu termasuk sama ada ia sekadar dalam transit atau dari penugasan operasi di kawasan seperti Selat Hormuz serta bagaimana perkara tersebut selaras dengan dasar berkecuali negara.

"Kredibiliti Malaysia amat bergantung pada keselarasan antara prinsip yang disuarakan dengan pelaksanaan sebenar di lapangan," ujarnya.

 

 

Ringkasan AI

  • Perikatan Nasional (PN) minta kerajaan jelaskan tentang aset tentera laut AS di perairan Malaysia
  • PN setuju dengan pendirian Malaysia yang tidak mahu terlibat dalam konflik antara kuasa besar
  • Laporan media tentang kehadiran kapal pemusnah periuk api AS di Pulau Pinang dianggap serius oleh PN
  • Kehadiran kapal AS di Pulau Pinang menimbulkan pertanyaan tentang peranan Malaysia dalam operasi ketenteraan
  • PN berpendapat keadaan ini boleh jejas persepsi dan kredibiliti dasar berkecuali Malaysia di mata antarabangsa

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!