Dua kapal tentera laut AS singgah di Pulau Pinang untuk urusan logistik

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
A
A
A

GEORGE TOWN - Kehadiran dua kapal Tentera Laut Amerika Syarikat, USS Santa Barbara (LCS 32) dan USS Tulsa (LCS 16) di North Butterworth Container Terminal (NBCT), Pulau Pinang dari 14 hingga 16 Mac lalu merupakan persinggahan sementara bagi tujuan logistik.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, persinggahan atau port of call itu melibatkan urusan seperti ulang bekal, penyelenggaraan ringan serta rehat anak kapal sebelum meneruskan pelayaran ke destinasi seterusnya.

"Kehadiran kapal tentera laut asing di pelabuhan Malaysia bukan perkara baharu dan telah lama menjadi amalan dalam hubungan pertahanan serta pelayaran antarabangsa.

"Ia merupakan sebahagian daripada aktiviti diplomasi pertahanan yang bertujuan meningkatkan keyakinan serta memelihara kedaulatan dan keutuhan wilayah negara,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia mempunyai prosedur dan dasar yang jelas berkaitan kehadiran kapal tentera laut asing di pelabuhan komersial atau pangkalan laut.

"Setiap permohonan untuk berlabuh perlu dikemukakan melalui saluran rasmi dan tertakluk kepada kelulusan Kerajaan Malaysia,” katanya.

Tambah beliau, persinggahan seperti itu turut berlaku secara berkala melibatkan kapal tentera laut dari pelbagai negara yang melalui perairan negara sama ada di Selat Melaka atau Laut China Selatan.

Jelasnya, ia termasuk bagi tujuan eksesais dua hala atau pelbagai hala serta pelaksanaan misi antarabangsa dalam memastikan kestabilan serantau dan keamanan sejagat seperti yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan sepanjang tahun 2025, Malaysia menerima sebanyak 75 kunjungan kapal tentera laut asing dari 14 negara melalui persinggahan pelabuhan.

Artikel Berkaitan:

Antara negara terlibat ialah Australia, Bangladesh, Britain, Brunei, China, India, Indonesia, Itali, Jepun, Kanada, Korea Selatan, Perancis, Singapura dan Amerika Syarikat.

 

Ringkasan AI

  • Kehadiran dua kapal Tentera Laut Amerika Syarikat di Pulau Pinang adalah untuk tujuan logistik
  • Persinggahan kapal tentera laut asing merupakan amalan biasa dalam hubungan pertahanan antarabangsa
  • Malaysia mempunyai prosedur dan dasar yang jelas untuk kehadiran kapal tentera laut asing
  • Persinggahan melibatkan kapal tentera dari pelbagai negara untuk tujuan eksesais dan misi antarabangsa
  • Malaysia menerima 75 kunjungan kapal tentera laut asing dari 14 negara hingga tahun 2025

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!