Wakalah zakat bantu 82 kakitangan MBSA, termasuk anak istimewa, pesakit kronik

SHAH ALAM – Seramai 82 warga kerja Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang berdepan pelbagai cabaran hidup termasuk menjaga anak istimewa dan menghidap penyakit kronik menerima sumbangan wakalah zakat berjumlah RM41,000.
Bantuan tersebut dilihat mampu meringankan beban penerima, khususnya dalam kalangan kakitangan yang memerlukan sokongan tambahan bagi meneruskan kehidupan seharian.
Pengerusi Badan Dakwah MBSA merangkap Pegawai Korporat dan Perhubungan Awam, Mohd Fauzi Aziz Maamor berkata, sumbangan berkenaan merupakan sebahagian daripada agihan Wakalah Zakat 2.0 yang diterima daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS).

"Wakalah zakat tersebut adalah pengembalian satu per lapan daripada bayaran zakat yang dibuat oleh sebahagian kakitangan MBSA kepada LZS dan dipulangkan semula kepada pembayar yang layak.
“Melalui kaedah ini, pihak MBSA dapat mengagihkan sendiri sumbangan tersebut kepada golongan yang telah dikenal pasti dalam kalangan warga kerja,” katanya kepada Sinar Harian pada majlis yang turut diadakan bersempena program khatam al-Quran di sini pada Selasa.
Tambah beliau, daripada keseluruhan penerima pada tahun ini, seramai 54 orang terdiri daripada kakitangan yang mempunyai anak istimewa, diikuti 12 kakitangan orang kurang upaya (OKU) dan 16 lagi menghidap penyakit kronik.
Menurutnya, situasi berkenaan menggambarkan masih terdapat dalam kalangan warga kerja yang memerlukan perhatian dan sokongan berterusan.
“Program ini membuktikan komitmen MBSA dalam memastikan agihan zakat dan bantuan dapat disampaikan secara terus kepada golongan yang memerlukan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, program khatam al-Quran yang dianjurkan merupakan sebahagian daripada pengisian Ihya Ramadan yang dilaksanakan setiap tahun.

Menurutnya, bagi tahun ini, seramai 296 peserta menyertai program berkenaan yang terdiri daripada 116 kakitangan lelaki dan 180 kakitangan wanita daripada pelbagai jabatan, bahagian serta pejabat cawangan.
Hadir sama, Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Zabidah Safar; Orang Besar Daerah Petaling, Datuk Orang Kaya Maha Bijaya Petaling, Datuk Emran Kadir; Pembimbing Majlis Khatam al-Quran, Nidzomuddin Ahmad serta penceramah undangan, Dr Robiah K Hamzah.
Ringkasan AI
- Seramai 82 warga kerja MBSA menerima sumbangan zakat RM41,000
- Sumbangan dilihat mampu meringankan beban penerima
- Sumbangan merupakan bahagian daripada Wakalah Zakat 2.0 dari LZS
- Penerima termasuk kakitangan dengan anak istimewa, OKU, dan menghidap penyakit kronik
- Program ini sebahagian dari Ihya Ramadan yang dilaksanakan setiap tahun
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
