MSU anjur majlis khatam al-Quran, #QuranHour 2026 libat 1,200 peserta

SHAH ALAM – Management and Science University (MSU) mengadakan Majlis Khatam al-Quran dan MSU #QuranHour 2026 pada Isnin, sebagai sebahagian daripada aktiviti MSU Ihya Ramadan tahun ini.
Bertempat di Islamic and Cultural Centre (ICC) di kampus induk MSU di sini, program tersebut melibatkan penyertaan kira-kira 1,200 warga MSU, MSU College di seluruh negara serta Sekolah Bina Insan (SBI) Yayasan MSU.

Menurut kenyataan MSU, program yang diadakan dari jam 2 hingga 5 petang itu turut mendapat kerjasama Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) yang menggerakkan inisiatif berinteraksi dengan al-Quran melalui pendekatan baca, faham dan amal.
"Sesi tadabbur Surah Al-Muzzammil ayat satu hingga 20 disampaikan oleh Mufti Pulau Pinang, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman manakala bacaan qari dipimpin oleh Mohd Umar Mansu dari ICC MSU.
"Peserta dibahagikan kepada 60 kumpulan, masing-masing 30 kumpulan lelaki dan perempuan. Setiap kelompok membaca satu juzuk bagi melengkapkan bacaan al-Quran secara keseluruhan sepanjang program berlangsung," katanya pada Selasa.

Hadir sama ke majlis berkenaan ialah Presiden dan Pengasas MSU, Profesor Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid; Naib Canselor MSU, Profesor Puan Sri Datuk Dr Junainah Abd Hamid; Pengasas Bersama Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah; Ahli Lembaga Pemegang Amanah WUIF, Ahmad Yani Abd Manaf serta barisan pengurusan kanan MSU.
Program MSU Ihya Ramadhan 2026 turut menyaksikan pelaksanaan lebih 657 aktiviti melibatkan warga kampus, masyarakat setempat serta komuniti antarabangsa seperti Kazakhstan, Sri Lanka, Indonesia dan India.

Antara kategori dan golongan komuniti yang disantuni adalah anak-anak yatim, golongan asnaf, mualaf, kategori B40, Orang Asli, petugas barisan hadapan, pelajar MSU dan Kolej MSU, warga sekolah serta rakan-rakan industri.
Ia juga merupakan komitmen MSU dalam memenuhi tanggungjawab terhadap komuniti di samping menyuburkan budaya bersyukur dan memberi (2G Culture) dalam kalangan warga kampus serta masyarakat.
Ringkasan AI
- Management and Science University (MSU) mengadakan Majlis Khatam al-Quran dan MSU #QuranHour 2026 sebagai sebahagian daripada aktiviti MSU Ihya Ramadan
- Program tersebut melibatkan penyertaan kira-kira 1,200 warga MSU, MSU College dan Sekolah Bina Insan (SBI) Yayasan MSU
- Program ini mendapat kerjasama Yayasan Warisan Ummah Ikhlas dan melibatkan sesi tadabbur serta bacaan qari
- Peserta dibahagikan kepada 60 kumpulan untuk melengkapkan bacaan al-Quran secara keseluruhan
- MSU Ihya Ramadhan 2026 turut menyaksikan pelaksanaan lebih 657 aktiviti yang menyantuni pelbagai golongan dalam komuniti
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
